Skip to main content

Bisnes

80.3 peratus perniagaan manfaatkan media sosial pada 2024 - DOSM

Instagram, TikTok, Snapchat, Kick, YouTube, Facebook, Twitch, Reddit, Threads and X applications are displayed on a mobile phone ahead of new law banning social media for users under 16 in Australia, in this picture illustration taken on December 9, 2025. REUTERS/Hollie Adams/Illustration/File Photo
Media sosial menjadi platform paling banyak digunakan oleh sektor perniagaan pada 2024. - Gambar hiasan/ Reuters
Advertisement

PUTRAJAYA: Media sosial kekal sebagai platform paling banyak digunakan dengan kadar penggunaan sebanyak 80.3 peratus oleh sektor perniagaan pada 2024, menurut Statistik Penggunaan ICT dan E-Dagang oleh Pertubuhan, 2025 (tahun rujukan 2024) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini. 

Ia diikuti laman web milik sendiri (58.7 peratus), e-pasaran (44.1 peratus) dan laman sesawang di entiti lain (38.0 peratus) yang mencerminkan usaha berterusan perniagaan untuk meluaskan capaian pasaran, meningkatkan penglibatan pelanggan serta memperkukuh keterlihatan jenama dalam persekitaran perniagaan yang semakin berhubung.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata laporan itu juga menunjukkan 97.2 peratus perniagaan menggunakan komputer manakala 95.3 peratus mempunyai capaian internet pada 2024.

Ia mencerminkan penggunaan teknologi digital yang semakin meluas dan kepentingan ketersambungan digital yang kian meningkat dalam menyokong operasi perniagaan, komunikasi dan penyampaian perkhidmatan.

“Peningkatan penggunaan teknologi digital bukan sekadar tindak balas terhadap perubahan pasaran tetapi langkah strategik yang membolehkan perniagaan berinovasi, meningkatkan kecekapan operasi dan kekal berdaya tahan dalam persekitaran ekonomi yang sentiasa berkembang,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Selain itu, penggunaan internet dan teknologi 5G dalam kalangan pertubuhan meningkat kepada 33.0 peratus pada 2024 berbanding 30.6 peratus pada 2023. 

Perkembangan itu disokong oleh liputan 4G dan 5G di seluruh negara yang masing-masing mencapai 98.7 peratus dan 82.4 peratus, sekali gus menyediakan asas yang lebih kukuh kepada perniagaan untuk memanfaatkan teknologi termaju, meningkatkan produktiviti serta merangsang inovasi.

Mohd Uzir berkata peningkatan tahap kesiapsiagaan digital juga mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pengembangan e-dagang, membolehkan firma mencapai pasaran yang lebih luas, meningkatkan kecekapan transaksi dan memperkukuh penyertaan dalam perdagangan domestik dan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement