Affin Islamic Bank Bhd optimis untuk mencapai 40 peratus bahagian pasaran kewangan perbankan Islam menjelang 2019, didorong oleh pertumbuhan dalam segmen pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Penasihat Syariah, Mohd Faiz Rahim berkata bank turut memastikan urus niaga yang dijalankan di cawangannya patuh Syariah.

"Kami kini menumpukan kepada mengembangkan segmen pembiayaan, terutamanya sektor PKS. Tahun lepas, kami berjaya meningkatkannya sebanyak 80 peratus tetapi ia masih agak kecil berbanding keseluruhan perbankan perniagaan dan segmen pembiayaan kami," katanya kepada Bernama di luar Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2018) di sini hari ini.

Bagi mencapai sasaran tersebut, Mohd Faiz berkata, Affin Islamic memperkenalkan beberapa produk yang memenuhi keperluan PKS, termasuk Skim Jaminan Portfolio CGC, iaitu bank bekerjasama dengan Credit Guarantee Corp Bhd (CGC) untuk memudahkan PKS mendapat pembiayaan daripada bank.

"Kami mula menumpukan kepada PKS tahun lepas, susulan kami menyasarkan untuk setanding dengan tahap industri, iaitu pembiayaan PKS membentuk 50 peratus daripada jumlah segmen perbankan perniagaan dan pembiayaan," katanya.

MIHAS 2018, pameran perdagangan halal terbesar di dunia, diadakan dari 4-7 April di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia.

Pada tahun ini, ruang pameran dan jumlah peserta pameran acara itu, masing-masing naik sebanyak 69.8 peratus dan 51.5 peratus.

Sementara itu, jumlah pengunjung pra-berdaftar meningkat sebanyak 49.6 peratus dan jumlah pembeli dalam Program Penyumberan Antarabangsa naik sebanyak 10.3 peratus.

Acara itu menampilkan produk dan perkhidmatan dalam tujuh sektor industri -- makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, pelancongan, kewangan, logistik dan e-dagang.

-- BERNAMA