KUALA LUMPUR: Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Petang Menjunjung Kasih sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan oleh LBS Bina Group Berhad (LBS) pada Rabu.

Majlis itu juga diadakan bagi menzahirkan penghargaan buat baginda berdua yang telah banyak menabur bakti sepanjang tempoh pemerintahan, berlangsung di ibu negara.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, segala usaha dan kepimpinan baginda dalam memacu negara akan sentiasa diingati.

“Dedikasi Tuanku kepada rakyat, di dalam mengukuhkan perpaduan dan pembangunan progresif di negara ini meninggalkan kesan yang luar biasa sehingga akan diingati untuk tahun-tahun yang mendatang.

“Sepanjang lima tahun ini pemerintahan Tuanku, kita dapat melihat Tuanku berdua sangat dekat dengan rakyat, dan sentiasa prihatin mengenai masalah -masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Turut berangkat hadir ke majlis tersebut, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta dif-dif kehormat yang lain.

Dalam pada itu, LBS sebagai pemaju yang mengutamakan rakyat sedang berusaha melancarkan beberapa projek mampu milik untuk tahun ini.

“Kami menjangkakan landskap pasaran hartanah di tahun 2024 ini akan terus positif dan berjalan rancak.

“Kami turut mengintai beberapa peluang sekali gus berusaha untuk melancarkan hartanah dengan jumlah GDV bernilai RM2.33 bilion di beberapa buah negeri,” tambahnya.

Tan Sri Lim turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh keluarga LBS, termasuk kakitangan, pemegang saham, rakan kongsi dan rakan media, yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan organisasi.

Jelasnya, LBS akan kekal teguh, komited dan sentiasa berusaha untuk  memupuk perpaduan dan menyediakan penyelesaian supaya perumahan berkualiti tinggi boleh dicapai.

Komitmen ini sejajar dengan tanggungjawab sosial korporat LBS, termasuk matlamat syarikat untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.

Beliau juga tidak melepaskan peluang mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina buat seluruh rakyat Malaysia dan mendoakan semoga dilimpahi dengan kemakmuran dan kejayaan sempena tahun naga ini.