Sepanjang 50 tahun ditubuhkan, Agrobank telah membuka banyak peluang mengeksport produk berasaskan makanan daripada sektor pertanian seperti yang disasarkan sebanyak RM18.4 billion untuk tahun ini.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Syed Alwi Mohamed Sultan, sehingga Februari 2019, bank berkenaan sudah merekodkan pertumbuhan pembiayaan sebanyak RM47.62 juta.

Jumlah tersebut, katanya, merupakan permulaan yang memberangsangkan buat Agrobank.

“Berbalik pada 2018, jumlah baki pembiayaan adalah sebanyak RM10.7 bilion dan pada tahun ini kami mensasarkan peningkatan pembiayaan sebanyak RM1.2 bilion berbanding tahun lalu,” kata Syed Alwi ketika berucap pada majlis perasmian Dialog Niaga Agrobank (DNA 2019) di sini pada Khamis.

Pelancaran DNA 2019 disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Tani, Datuk Salehuddin Ayub yang bertujuan membuka peluang dalam membincangkan isu dan hal berkaitan bidang pertanian.

Mengulas mengenai pembiayaan mikro, Syed Alwi berkata, Agrobank mengunjurkan sebanyak RM290 juta pada tahun ini, berbanding RM280 juta pada 2018.

“Angka hutang tidak berbayar (NPL) juga dijangka semakin menurun kepada empat peratus pada tahun ini berbanding 4.1 peratus pada 2018 dan 4.5 peratus (2017)” jelas beliau lagi.

Sementara itu, Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal pula berkata, bank berkenaan akan terus memberi sokongan kepada usaha kerajaan dalam meningkatkan produktiviti sektor pertanian negara melalui produk dan perkhidmatan yang sesuai untuk pertanian.

"Agrobank komited dalam usaha memperkukuhkan ekonomi komuniti dalam negara melalui sokongan dan penyediaan kredit yang menyeluruh untuk komuniti tani," kata beliau lagi.