AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia, hari ini memperkenalkan pesawat Airbus A330neo miliknya yang juga pesawat pertama dalam generasi baharu penerbangan jarak jauh, pada acara edisi ke-53 International Paris Air Show, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Nadda Buranasiri berkata kehadiran pesawat A330neo itu akan meningkatkan lagi kemampuan syarikat itu menawarkan destinasi-destinasi baharu termasuk ke Eropah.

"Penerbangan terus ke Eropah dan Amerika Syarikat misalnya, kini boleh ditawarkan. Kami juga sedang mengusahakan banyak rangkaian menarik serta perancangan produk bagi memanfaatkan sepenuhnya peluang yang boleh ditawarkan oleh khidmat jarak jauh dan kecekapan kos yang ketara dan akan diumumkan kelak," katanya pada majlis memperkenalkan pesawat itu.

Buranasiri berkata pesawat itu akan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok, Thailand dan dapat membantu rancangan pengembangan kemudahan dan rangkaian ke pasaran utama seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan.

"Ini merupakan pencapaian bermakna kepada industri penerbangan dan terutamanya untuk para pelanggan kami. Barisan pesawat baharu ini akan merevolusi pasaran pengembaraan udara jarak jauh," katanya.

AirAsia pada masa ini memiliki 66 pesawat menerusi tempahan langsung serta satu perjanjian pembelian tambahan 34 buah pesawat dan kehadiran A330neo dijangka meningkatkan pengalaman pelanggan dengan ciri-ciri reka bentuk terkini serta modifikasi baharu bagi menjadikan perjalanan jarak sederhana hingga jarak jauh lebih selesa berbanding sebelum ini.

Pertunjukan udara Paris yang bermula hari ini sehingga 23 Jun, 2019, diadakan di pusat pameran Le Bourget dekat sini.

Acara itu merupakan pameran aeroangkasa terbesar dunia dan disertai seramai 2,400 pempamer dari 50 negara yang mengetengahkan sebanyak 150 buah pesawat.