KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat selepas mengalami pemulihan kecil pada akhir dagangan Jumaat, dipacu oleh aktiviti memburu saham-saham berharga rendah susulan jualan ketara baru-baru ini, kata penganalisis.
Lantunan itu bagaimanapun kekurangan momentum ketika pasaran Asia kekal diasak tekanan menjelang pengumuman data pasaran tenaga kerja Amerika Syarikat (AS).
Pada 5 petang, indeks penunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.51 mata atau 0.03 peratus kepada 1,630.87 daripada paras penutup 1,630.36, semalam.
Indeks penanda aras itu yang dibuka menokok 3.51 mata kepada 1,633.87, bergerak dalam jajaran 1,630.63 hingga 1,640.78 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 585 berbanding 541 manakala 558 lain tidak berubah, 1,089 tidak diniagakan dan 24 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.23 bilion unit bernilai RM2.70 bilion daripada 3.1 bilion unit bernilai RM2.7 bilion, semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata aktiviti penjualan pada baru-baru ini menyaksikan penilaian saham mewah yang lebih menarik, sekali gus berpotensi menggalakkan usaha pengumpulan saham secara berperingkat.
Namun pada masa sama, katanya, pelabur terus mengambil langkah untuk kekal bertahan berikutan perkembangan seperti hasil bon dan harga minyak mentah yang kekal tinggi.
“Bagi bursa tempatan pula, kami berpendirian berhati-hati di disebalik peningkatan berikutan risiko cabaran luar yang mungkin mengekalkan ketidaktentuan pasaran pada tahap tinggi,” katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik tujuh sen kepada RM10.02, Public Bank susut satu sen kepada RM4.66, CIMB berkurangan empat sen kepada RM7.65, Tenaga Nasional meningkat enam sen kepada RM12.96 dan IHH Healthcare meraih 10 sen kepada RM7.80.
Saham paling aktif menyaksikan Zetrix AI susut lima sen kepada 11.5 sen, Jaks Resources tidak berubah pada 18 sen, JCY International menokok 10.5 sen kepada 66 sen, V.S Industry naik dua sen kepada 29 sen dan PUC menambah satu sen kepada 4.5 sen.
Bagi saham paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.28 kepada RM42.40, UWC naik 47 sen kepada RM7.57, Vitrox menokok 46 sen kepada RM10.46, United Plantations meraih 42 sen kepada RM31.38 manakala UMS Integration meningkat 38 sen kepada RM9.03.
Saham yang mencatatkan penurunan ketara diterajui oleh Nestle yang susut 48 sen kepada RM89.52, Kuala Lumpur Kepong turun 42 sen kepada RM21, Enra berkurangan 25.5 sen kepada 72.5 sen manakala Allianz Malaysia dan Hong Leong Bank masing-masing menguncup 20 sen kepada RM20.80 dan RM22.64.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Mid 70 meningkat 122.94 mata kepada 17,481.93, Indeks FBM Emas menokok 27.04 mata kepada 12,170.57 manakala Indeks FBM Top 100 naik 24.52 mata kepada 11,957.68.
Indeks FBM Emas Syariah meningkat 47.31 mata kepada 12,060.32 manakala Indeks FBM ACE menokok 46.49 mata kepada 5,529.46.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.79 mata kepada 178.52, Indeks Tenaga susut 1.98 mata kepada 833.03, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 20.40 mata kepada 19,040.51 manakala Indeks Perladangan meningkat 29.97 mata kepada 9,056.55.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.67 bilion unit bernilai RM2.34 bilion daripada 1.82 bilion unit bernilai RM2.42 bilion, semalam.
Waran melonjak kepada 973.40 juta unit bernilai RM160.21 juta daripada 618.78 juta unit bernilai RM72.71 juta sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan susut kepada 593.05 juta unit bernilai RM205.21 juta daripada 650.13 juta unit bernilai RM226.92 juta sebelumnya.
Kaunter produk pengguna dan perkhidmatan menyumbang sebanyak 241.01 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (266.57 juta), pembinaan (183.37 juta), teknologi (1.41 bilion), perkhidmatan kewangan (50.26 juta), hartanah (152.37 juta), perladangan (19.73 juta), amanah pelaburan hartanah (15.78 juta), dana tertutup (214,200), tenaga (99.69 juta), penjagaan kesihatan (103.06 juta) telekomunikasi dan media (28.89 juta), pengangkutan dan logistik (47.35 juta), utiliti (46.61 juta) dan amanah perniagaan (119,600) .
-- BERNAMA