Skip to main content

Malaysia

Integriti pasukan keselamatan tidak boleh dikompromi - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri dan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS) Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qaradaghi di Kompleks Seri Perdana hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri dan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS) Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qaradaghi di Kompleks Seri Perdana hari ini. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Kerajaan MADANI menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap semua pihak terlibat rasuah dan penyeludupan dadah, termasuk anggota keselamatan negara.
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan usaha membanteras rasuah merangkumi kes berprofil tinggi seperti 1MDB, FELDA, Tabung Haji dan penyeludupan dadah.
  • Polis menahan 11 individu, termasuk juruterbang TUDM, serta merampas 96.64 kilogram syabu bernilai RM4.83 juta dalam operasi penyeludupan dadah menggunakan aset tentera.
Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan rasuah dan penyeludupan dadah, termasuk jika melibatkan anggota pasukan keselamatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha membanteras kegiatan berkenaan tidak akan dikompromi demi memastikan integriti institusi keselamatan dan pertahanan negara terus terpelihara.

Beliau mengakui pendirian tegas kerajaan dalam menangani rasuah boleh memberi tekanan kepada kepimpinannya.

Advertisement

Namun, katanya, cabaran itu tidak akan menghalang kerajaan daripada meneruskan tindakan terhadap pihak yang terlibat.

"Kedudukan kerajaan, apa lagi Perdana Menteri akan lebih sukar bila keras menentang rasuah daripada 1MDB (1Malaysia Development Berhad) kepada FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan), Tabung Haji dan penyeludupan dadah,” katanya  ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI yang menampilkan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Sheikh Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qarahdaghi sebagai tetamu di Kompleks Seri Perdana di sini malam ini.

Advertisement

Menurut Anwar, usaha membanteras rasuah merangkumi pelbagai sektor dan institusi, termasuk kes berprofil tinggi yang pernah dikaitkan dengan 1MDB.

Ia turut melibatkan isu berkaitan FELDA, Tabung Haji serta kegiatan penyeludupan dadah.

Beliau menegaskan, tindakan terhadap kegiatan jenayah dan salah guna kuasa perlu dilaksanakan tanpa memilih kedudukan atau latar belakang individu terbabit.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan bahawa pasukan pertahanan negara perlu sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi sebarang ancaman.

Katanya, kekuatan pertahanan bukan hanya bergantung kepada aset dan keupayaan ketenteraan, sebaliknya turut memerlukan anggota yang berintegriti.

"Pertahanan negara perlu sentiasa kukuh dan disokong integriti tinggi dalam kalangan anggota tentera.

"Apa yang terjadi ia tidak sepatutnya berlaku lebihh utama insiden itu melibatkan penyalahgunaan aset ketenteraan, termasuk pesawat tentera, untuk kegiatan jenayah seperti penyeludupan dadah,” katanya.

Beliau menegaskan, sebarang bentuk penyalahgunaan aset ketenteraan untuk kegiatan jenayah, termasuk penyeludupan dadah, tidak sepatutnya berlaku.

Kenyataan itu menyusul susulan penahanan 11 individu dalam satu operasi berkaitan kegiatan penyeludupan dadah yang dipercayai menggunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Astro AWANI sebelum ini melaporkan, juruterbang TUDM yang ditahan berhubung kegiatan penyeludupan dadah menggunakan aset tentera dipercayai bertanggungjawab membawa bekalan dadah dari Lembah Klang ke Sabah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu berkenaan merupakan antara anggota sindiket yang mempunyai peranan khusus dalam operasi pengedaran bahan terlarang itu.

Kesemua mereka disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan dadah menggunakan aset tentera udara.

Dalam operasi sama, polis merampas 96.64 kilogram dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram bahan kimia.
 

Must Watch Video

Advertisement