KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini rendah berikutan kegiatan pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih, seiring dengan prestasi semalaman Wall Street yang bercampur-campur, kata seorang peniaga.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.41 mata kepada 1,502.30 daripada penutupan semalam pada 1,507.71.

Indeks utama itu dibuka pada paras 1,505.07 pagi ini, lebih rendah sebanyak 2.64 mata.

Di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 146 berbalas 110, manakala 195 kaunter tidak berubah, 1,796 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 151.70 juta unit bernilai RM45.21 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Indeks Dow Jones jatuh sebanyak 0.3 peratus berikutan prestasi bercampur-campur pendapatan korporat menjelang pengeluaran data kadar pengangguran Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini.

Ia menambah pasaran saham Eropah meneruskan keuntungan manakala pasaran saham Asia kebanyakannya kekal menggalakkan.

"Kami percaya sentimen dijangka masih positif untuk sesi hari ini kerana pelabur telah mengetepikan ketegangan geopolitik AS-China untuk memberi tumpuan kepada musim pelaporan pendapatan yang akan datang," kata firma pembrokeran itu dalam satu nota hari ini.

Mengenai komoditi, ia berkata harga minyak mentah merosot lagi kepada paras US$94 setong -- paras terendah sejak permulaan perang Ukraine-Rusia, sementara harga minyak sawit mentah menyaksikan peningkatan sederhana dan kekal melepasi paras RM3,800 setiap tan.

Bagi sektor tumpuan pula, firma itu berkata sektor teknologi diunjur akan meneruskan aliran menaik, mengambil petunjuk daripada keuntungan yang dicatatkan di Nasdaq.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, IHH Healthcare dan CIMB, semuanya turun 2.0 sen kepada RM8.88, RM6.44 dan RM5.23, Public Bank susut 1.0 sen menjadi RM4.64, manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM8.86.

Bagi saham aktif, EURO Holding menambah 3.5 sen kepada 19.5 sen, Unique Fire susut 4.5 sen kepada 21.5 sen, CSH Alliance turun setengah sen kepada 4.5 sen manakala TWL dan MQ Technology tidak berubah, masing-masing pada 6.5 sen dan 3.5 sen .

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 37.50 mata menjadi 10,830.23, Indeks FBMT 100 turun 29.32 mata kepada 10,414.52 dan Indeks FBM Emas lebih rendah 27.72 mata kepada 10,666.56.

Manakala, Indeks FBM 70 lemah 3.01 mata kepada 12,801.26 dan FBM ACE menokok 2.31 mata kepada 4,887.59.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan sebanyak 11.96 mata kepada 16,653.25, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.39 mata kepada 185.58, Indeks Tenaga menguncup 2.29 mata kepada 658.78 dan Indeks Perladangan lemah 31.83 mata. 7,052.16.

-- BERNAMA