KUALA LUMPUR: Langkah berterusan Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) memperkukuh kecekapan operasi serta memperluas segmen penstriman, membuahkan hasil positif apabila Kumpulan berjaya menjana aliran tunai bebas yang kukuh berjumlah RM113 juta, bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 (Q2FY27).
Disokong oleh disiplin pengurusan kos asas yang ketat, Kumpulan turut mengekalkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang stabil pada paras 20 peratus dengan catatan EBITDA sebanyak RM130 juta bagi suku berkenaan.
Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, Astro berkata, prestasi operasinya terus didorong oleh penerimaan memberangsangkan terhadap platform penstrimannya.
“Jumlah pelanggan VIP berbayar bagi platform penstriman sooka melonjak sebanyak 52 peratus tahun ke tahun (YoY), diterajui minat mendalam terhadap kandungan sukan serta penerbitan tempatan.
“Pada masa yang sama, angka pengguna aktif bulanan (MAU) sooka kini melepasi angka satu juta.
“Bagi meluaskan lagi capaian pasaran mampu milik, Astro pada suku ini turut melancarkan Astro X3, iaitu tawaran perkhidmatan penstriman tanpa dekoder, tanpa pemasangan dan tanpa kontrak yang disasarkan kepada segmen pengguna lebih luas pada harga permulaan yang lebih fleksibel,” menurut kumpulan itu lagi.
Walaupun kecekapan kos berjaya mengekalkan margin operasi, ketidaktentuan pasaran mata wang memberi tekanan kepada keuntungan bersih syarikat.
Astro berkata ia merekodkan kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATAMI) sebanyak RM26 juta bagi suku dalam tinjauan.
Menurut kenyataan itu, kerugian tersebut terutamanya disumbangkan oleh kerugian pertukaran mata wang asing (forex) belum direalisasi ke atas liabiliti pajakan transponder yang tidak dilindung nilai susulan penyusutan nilai Ringgit.
Mengulas mengenai prestasi suku tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Interim Astro, Henry Tan berkata, Kumpulan sedang mengambil pendekatan proaktif dan tegas bagi membawa perniagaan ke fasa yang seterusnya di tengah-tengah evolusi pesat industri media.
"Kami memperkukuh Astro untuk masa hadapan dengan memperluas audiens, meningkatkan penglibatan pelanggan dan meneroka peluang penjanaan pendapatan baharu.
“Perjalanan transformasi ini sedang dilaksanakan dan hala tuju kami jelas; menjangkau lebih ramai rakyat Malaysia, meningkatkan nilai kandungan serta penglibatan pelanggan, dan membangunkan sumber pendapatan baharu menerusi penstriman, pengiklanan dan perniagaan berkaitan," katanya lagi.
Beliau menambah, gabungan kandungan tempatan berkualiti serta kefahaman mendalam terhadap cita rasa tempatan meletakkan syarikat pada kedudukan tepat untuk mencipta nilai mampan.
"Berteraskan kandungan tempatan yang berkualiti, hubungan kukuh dan dipercayai bersama pelanggan serta pemahaman mendalam terhadap audiens Malaysia, kami berada di kedudukan yang baik untuk mencipta nilai jangka panjang dan membantu membentuk masa depan industri media Malaysia," jelas Henry lagi.
Melangkah ke hadapan, Astro menegaskan komitmennya untuk terus mengukuhkan ekosistem merentasi Pay-TV, sooka dan NJOI, mengoptimumkan struktur perbelanjaan serta memperkenalkan strategi berteraskan komuniti peminat (fandom) bagi memaksimumkan potensi pendapatan baharu.
Dalam pada itu, ia berkata, kekuatan harta intelek (IP) tempatan kekal menjadi tunjang utama penglibatan audiens Kumpulan.
“Astro terus mengukuhkan dominasinya di pawagam dengan menguasai 52 peratus bahagian pasaran kutipan pecah panggung (GBO) tempatan menerusi filem-filem terbitannya yang membolosi kedudukan tiga teratas, termasuk momentum filem terbaharu, Terbang.
“Di peringkat antarabangsa, kerjasama strategik Astro bersama platform penstriman global turut mencatat kejayaan besar apabila tiga judul tempatan, Tarung: Unforgiven, Good Boys Go to Heaven dan Kudrat 1968: High Council — masing-masing berjaya menduduki tangga pertama di Netflix.
“Di samping itu, komitmen sukan premium diteruskan melalui kerjasama strategik bersama RTM bagi penyiaran Sukan Komanwel Glasgow 2026,” menurutnya lagi.
Dari segi kedudukan kewangan keseluruhan, Astro berkata, ia telah mencatatkan hasil sebanyak RM634 juta, menyederhana empat peratus berbanding suku sebelumnya ekoran hasil langganan dan perbelanjaan pengiklanan yang lebih rendah.