MELAKA: Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan beliau ialah Ketua Menteri kepada seluruh rakyat Melaka tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun kecenderungan politik.
Ab Rauf berkata tiada rakyat atau kawasan yang akan dipinggirkan dalam usaha kerajaan negeri meneruskan agenda pembangunan.
Beliau berkata mandat yang diterima pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 akan digunakan untuk memastikan pembangunan serta kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
“Saya bukan Ketua Menteri kepada mereka yang mengundi saya sahaja.
“Saya adalah Ketua Menteri kepada seluruh rakyat Melaka, tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun kecenderungan politik.
“Tidak ada rakyat yang harus dipinggirkan, tidak ada kawasan yang harus dilupakan dan tidak ada suara yang harus diketepikan dalam usaha kita membangunkan negeri tercinta ini,” katanya pada sidang media selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi penggal kedua.
Ab Rauf berkata dalam mandat baharu yang diberikan rakyat itu, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan berkualiti serta mempercepat pelaksanaan projek pembangunan strategik.
Beliau berkata segala komitmen dan tawaran yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang tersusun serta boleh diukur.
“Saya tidak mahu rakyat menunggu terlalu lama untuk melihat hasilnya.
“Kerajaan yang diberikan mandat mesti segera bekerja kerana rakyat bukan sahaja mahu mendengar janji, tetapi mahu melihat bukti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mahu seluruh jentera pentadbiran negeri terus memperkukuh budaya kerja berintegriti, cekap dan responsif selain sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.
Ab Rauf turut mengingatkan semua wakil rakyat yang menerima mandat agar tidak melupakan tanggungjawab yang dipikul kerana jawatan itu merupakan satu amanah.