Skip to main content

Malaysia

Abang Rita Rudaini meninggal dunia akibat serangan jantung

Kematian Ahmad Musyaiful Mokhtar, 51, yang juga abang sulung kepada pelakon Rita Rudaini disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat. -Facebook Azmi Ahmad
Kematian Ahmad Musyaiful Mokhtar, 51, yang juga abang sulung kepada pelakon Rita Rudaini disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat. -Facebook Azmi Ahmad
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti sukan di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelana Jaya, awal pagi tadi.

Kematian Ahmad Musyaiful Mokhtar, 51, yang juga abang sulung kepada pelakon Rita Rudaini disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat.

“Ya. Punca kematian adalah serangan jantung. Difahamkan beliau memang menghidap sakit jantung dan mendapat rawatan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisement

Sementara itu, JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan Ahmad Musyaiful yang bertugas sebagai Pegawai Kastam Tinggi (WK3) di Perlis, rebah ketika terlibat dalam aktiviti sukan di kompleks berkenaan.

“Allahyarham disahkan meninggal dunia pada 1.45 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) setelah rebah ketika terlibat dengan aktiviti sukan di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya sempena persiapan Pesta Sukan Kementerian Kewangan yang sedang berlangsung,” menurut kenyataan itu.

Advertisement

Sementara itu, Rita menerusi kenyataan yang dilaporkan media sebelum ini berkata pemergian abangnya merupakan kehilangan besar buat dirinya dan seluruh keluarga.

“Tiada kata yang mampu menggambarkan perasaan saya saat menerima berita duka ini daripada anak arwah awal pagi tadi,” katanya dan turut memohon orang ramai mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Jenazah dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Kangar, Perlis untuk urusan pengebumian.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement