Dagang Nexchange Bhd (DNeX) menerusi anak syarikatnya, PING Petroleum UK Ltd memperoleh baki 50% kepentingan dalam pembangunan luar pesisir Avalon Oilfield di United Kingdom berjumlah AS$17 juta (RM71.72 juta) secara tunai.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, DNeX berkata, PING UK telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Summit Exploration and Production Ltd untuk membeli kepentingan itu yang tidak dimilikinya.

PING Petroleum UK adalah anak syarikat DNeX Energy Sdn. Bhd., yang dimiliki sepenuhnya oleh DNeX manakala Summit Exploration and Production adalah anak syarikat milik penuh Sumitomo Corp.

Menerusi pemerolehan itu, katanya, PING UK akan membayar pertimbangan awal berjumlah AS$5 juta kepada syarikat tersebut setelah menyelesaikan transaksi dan selepas membayar baki sebanyak AS$12 juta berasaskan jangkaan apabila projek itu siap menerusi bayaran berkaitan pengeluaran.

Summit Exploration and Production secara dasarnya aktif mencari pembeli untuk 50% kepentingan itu dalam pembangunan projek di Avalon Oilfield kerana ia dilaporkan mahu beralih daripada perniagaan bahan bakar fosil.

"Sehubungan itu, sebagai operator dan pemilik bersama Avalon Oilfield ini, cadangan pengambilalihan ini membolehkan PING UK mengelakkan berlaku sebarang konflik kepentingan yang mungkin timbul sekiranya  Summit Exploration and Production menjual 50% kepentingan kepada pihak ketiga.

"Tambahan pula, pembangunan di Avalon Oilfield ini dijangka meningkatkan hasil pengeluaran minyak dan rizab PING UK," katanya pada Isnin.

Jelas DNeX, pembanguan itu juga akan mengurangkan risiko portfolio yang signifikan kerana pendapatan PING UK akan direalisasikan menerusi 2 pemasangan bebas, iaitu kelompok Anasuria dan Avalon Oilfield setelah pengeluaran pertama dari Avalon Oilfield.

Pada masa sama, Avalon Oilfield adalah lapangan minyak yang terbukti signifikan dengan rantaunya memiliki kedudukan politik yang stabil.

Lapangan minyak ini ditemui pada Mei 2014 terletak di UK Blok 21/6b Laut Utara, 120 kilometer Timur Laut Aberdeen dengan kedalaman air 120 meter.

Menurut DNeX, apabila pelan pembangunan lapangan (FDP) dijangka diluluskan pada suku kedua 2022, PING UK merancang untuk memulakan kerja-kerja penggerudian telaga pada suku ketiga 2022 manakala pemasangan kemudahan pengeluaran pada suku kedua 2023.

"Berdasarkan anggaran semasa, Avalon Oildfield dijangka memulakan pengeluaran minyak yang pertama pada Julai 2023," katanya.


Berita asal di DagangNews.com