Skip to main content

Bisnes

Anak syarikat GLC Sabah, SCOMM raih Outstanding Achiever Award 2026

Subha Maraiah ketika menerima sijil dan trofi daripada Pengerusi SME Corperation, Datuk Teng Chang Khim pada Majlis Makan Malam Gala dan Penyampaian Anugerah PBA2026 yang berlangsung di Sunway Pyramid Convention Centre baru-baru ini. - Gambar SCOMM
Subha Maraiah ketika menerima sijil dan trofi daripada Pengerusi SME Corperation, Datuk Teng Chang Khim pada Majlis Makan Malam Gala dan Penyampaian Anugerah PBA2026 yang berlangsung di Sunway Pyramid Convention Centre baru-baru ini. - Gambar SCOMM
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sedco Communications Sdn. Bhd. (SCOMM), anak syarikat kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), mengharumkan nama Sabah selepas menerima anugerah Business Outstanding Achiever Award pada majlis Platinum Business Awards (PBA) 2026.

Anugerah yang disampaikan SME Association of Malaysia itu mengiktiraf pencapaian dan sumbangan SCOMM dalam pembangunan infrastruktur telekomunikasi serta penyediaan penyelesaian kesalinghubungan digital bagi menyokong agenda transformasi digital Sabah.

Pengarah Eksekutif SCOMM, Subha Maraiah berkata, melangkah ke hadapan, SCOMM berhasrat menjadi pemangkin utama masa depan digital Sabah menerusi pembangunan infrastruktur telekomunikasi generasi baharu, peluasan rangkaian gentian optik dan 5G, sokongan terhadap inisiatif bandar pintar serta penerapan teknologi digital terkini.

Advertisement

"Menerusi kerjasama strategik serta penyelesaian inovatif dan mampan, syarikat itu menyasarkan untuk merapatkan jurang digital, mempercepatkan penggunaan teknologi digital dan menyumbang kepada pembentukan Sabah yang lebih terhubung, inklusif serta berdaya saing dalam ekonomi digital," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Anugerah berkenaan disampaikan pada Majlis Makan Malam Gala dan Penyampaian Anugerah PBA2026 yang berlangsung di Sunway Pyramid Convention Centre baru-baru ini.

Advertisement

Ditubuhkan pada 2009, SCOMM memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ekosistem digital Sabah menerusi pembangunan dan pengurusan infrastruktur telekomunikasi yang boleh dipercayai serta penyelesaian kesalinghubungan mampan.

Komitmen syarikat itu dalam memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesalinghubungan yang mampu milik, boleh diperluas dan mampan turut menjadi antara pencapaian utama yang diiktiraf menerusi anugerah berkenaan.

Platinum Business Awards dianjurkan oleh SME Association of Malaysia bagi mengiktiraf kecemerlangan, pencapaian dan sumbangan syarikat serta perusahaan daripada pelbagai sektor industri.

Sejak dilancarkan secara rasmi pada 26 Mei 2026, PBA2026 menerima sokongan dan pencalonan menggalakkan daripada komuniti perniagaan, dengan penerima anugerah dipilih menerusi proses penilaian oleh lembaga pemilihan yang terdiri daripada tokoh perniagaan terkemuka dan pegawai perdagangan.

Bagi edisi 2026, PBA mengangkat tema “Governance, Digitalisation, Intelligence” yang menekankan kepentingan tadbir urus korporat yang kukuh, transformasi digital dan inovasi pintar dalam membangunkan organisasi yang berdaya tahan, kompetitif serta bersedia menghadapi masa depan.

Dalam pada itu, Subha Maraiah berkata pengiktirafan itu mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam memperkukuh ekosistem telekomunikasi dan kesalinghubungan digital, selain menyokong aspirasi pembangunan digital Sabah.

"Pencapaian itu turut menyerlahkan potensi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah untuk memainkan peranan strategik dalam memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh infrastruktur digital serta meningkatkan daya saing negeri dalam ekonomi digital," jelasnya.

Must Watch Video

Advertisement