Skip to main content

Malaysia

CIMIC, literasi pertahanan penting bagi memperkukuh ketahanan rakyat dan negara

Karnival CIMIC Johor 2026 adalah program kesiapsiagaan bagi membantu komuniti setempat mengeratkan hubungan dengan tentera, serta memahami asas Literasi Pertahanan Nasional. - Foto MINDEF
Karnival CIMIC Johor 2026 adalah program kesiapsiagaan bagi membantu komuniti setempat mengeratkan hubungan dengan tentera, serta memahami asas Literasi Pertahanan Nasional. - Foto MINDEF

Ringkasan AI

  • Civil-Military Cooperation (CIMIC) dianggap penting untuk memperkukuh hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat demi keselamatan serta ketahanan negara.
  • Literasi pertahanan nasional perlu diperkasakan agar rakyat memahami isu keselamatan, termasuk ancaman geopolitik, siber, dan penyebaran maklumat palsu.
  • CIMIC membina ketahanan masyarakat melalui kepercayaan, kesiapsiagaan dan perpaduan, sekali gus menjadi benteng utama menghadapi ancaman hibrid yang kompleks.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerjasama Awam-Tentera atau Civil-Military Cooperation (CIMIC) dilihat sebagai elemen penting dalam memperkukuh hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat untuk mendukung keselamatan, kesejahteraan serta ketahanan negara.

Pegawai Tugas-Tugas Khas (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Pertahanan, Noor Azleen Ambros berkata CIMIC merupakan bentuk kerjasama yang melibatkan ATM, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam pelbagai aspek berkaitan keselamatan negara.

Menurut beliau, hubungan erat dan kepercayaan yang kukuh antara rakyat dan tentera mampu meningkatkan keupayaan negara menghadapi pelbagai ancaman semasa.

Advertisement

“Apabila rakyat dan tentera rapat dan saling mempercayai, negara lebih kukuh menghadapi apa jua ancaman.

“Sebab itu CIMIC ialah jambatan yang merapatkan tentera dengan rakyat supaya kita sama-sama memikul tanggungjawab mempertahankan negara,” katanya dalam AWANI Pagi pada Rabu.

Advertisement

Sementara itu, Penolong Pengarah Kajian Polisi (Implementasi dan Strategi), Institut Kajian Pertahanan Malaysia (MiDAS), Lt Kol Mohd Fuad Azri berkata literasi pertahanan nasional perlu diperkasakan bagi memastikan rakyat mempunyai kesedaran, pengetahuan dan kemahiran asas berkaitan keselamatan serta kedaulatan negara.

Menurut beliau, literasi pertahanan bukan sekadar memahami aset atau keupayaan ketenteraan, malah merangkumi kefahaman terhadap isu geopolitik, ancaman siber dan penyebaran maklumat palsu.

“Dalam dunia sekarang, rakyat perlu faham jenis-jenis ancaman kognitif yang boleh mereka hadapi.

“Kadang-kadang kita tidak sedar mesej yang dikongsi dalam aplikasi komunikasi, berita palsu, pautan atau aplikasi tertentu boleh mendedahkan data peribadi dan memberi risiko keselamatan,” katanya.

Mohd Fuad berkata masyarakat yang mempunyai daya tahan tinggi mampu menjadi benteng utama dalam menghadapi ancaman hibrid yang semakin kompleks.

Beliau merujuk penegasan Menteri Pertahanan bahawa rakyat yang berdaya tahan merupakan satu bentuk kuasa pencegahan yang berkesan terhadap ancaman luar.

Katanya, CIMIC membantu membina ketahanan masyarakat melalui tiga komponen utama iaitu kepercayaan, kesiapsiagaan dan perpaduan.

Menurut beliau, kepercayaan yang terjalin antara ATM dan rakyat dapat mengelakkan masyarakat daripada mudah dipengaruhi naratif palsu, manakala program kesiapsiagaan pula membantu komuniti lebih bersedia menghadapi bencana dan krisis.

Must Watch Video

Advertisement