Skip to main content

Malaysia

Pemimpin ajaran Millah Abraham didakwa di Mahkamah Syariah Manjung

Mazlan Abd Shukor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menghina hadis dan menghuraikan agama bertentangan dengan hukum syarak. - Foto Bernama
Mazlan Abd Shukor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menghina hadis dan menghuraikan agama bertentangan dengan hukum syarak. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Seorang nelayan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah atas dua pertuduhan menghina hadis dan menghuraikan agama bertentangan hukum syarak.
  • Tertuduh, Mazlan Abd Shukor, didakwa mengeluarkan kenyataan menghina hadis dan menghuraikan agama kepada dua anaknya di Pantai Remis pada 26 April 2024.
  • Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 13 Januari depan.
Advertisement

MANJUNG: Seorang nelayan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas dua pertuduhan menghina hadis dan menghuraikan agama bertentangan dengan hukum syarak, kira-kira dua tahun lepas.

Tertuduh, Mazlan Abd Shukor, 69, yang dikatakan berperanan sebagai pemimpin dan pengajar ajaran Millah Abraham di daerah Manjung, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ridzuan Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama, Mazlan didakwa menghina hadis dengan mengeluarkan perkataan “Kalau kita pakai hadith itu kata orang. Kata orang tak semestinya betul” di sebuah rumah di Pantai Remis, antara 11 pagi dengan 12 tengah hari pada 26 April 2024.

Advertisement

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 15 Enakmen Jenayah (Syariah) 1992 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mazlan didakwa menghuraikan agama bertentangan dengan hukum syarak kepada dua anaknya, Maisarah, 23, dan Maryam Sakinah, 20, dengan menyebut “Quran dia memang kena baca dalam bahasa kita bukannya dibaca dalam bahasa itu” di tempat yang sama, pada tarikh dan masa yang sama.

Advertisement

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 9 enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwa Syarie Amir Sabri Zulkipli memohon mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan atas alasan kesalahan yang membabitkan akidah itu serius.

Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan atas alasan masih menanggung dua anak yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.

Mohd Ridzuan kemudian menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 13 Jan depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement