Anugerah Most Powerful Women: CEO UOB sifatkan sebagai satu penghormatan besar

Ng Wei Wei ketika menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghormatan besar bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada keseluruhan sektor kewangan negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei, mencipta sejarah tersendiri apabila muncul antara tiga tokoh wanita negara yang tersenarai sebagai penerima Anugerah Most Powerful Women (MPW) Asia 2025 pada Fortune Innovation Forum 2025 yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.
Pengiktirafan berprestij itu menonjolkan peranan besar wanita Malaysia dalam landskap kepimpinan korporat, selain membuktikan kemampuan mereka memacu inovasi dan transformasi organisasi di peringkat serantau.
Wei Wei ketika ditemui Astro AWANI menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghormatan besar bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada keseluruhan sektor kewangan negara.
Menurutnya, pencapaian wakil Malaysia daripada sektor perkhidmatan kewangan yang diangkat dalam senarai itu membuktikan kemajuan dan keteguhan sistem perbankan negara di peringkat Asia.
"Walaupun kemenangan ini tidak saya jangkakan, saya berpendapat ia memberi isyarat kepada saya untuk teruskan apa yang sedang dilakukan kerana saya berada di landasan yang betul.
"Pengiktirafan ini turut menjadi nilai tambah penting kepada agenda pemerkasaan wanita dalam sektor kewangan, sekali gus mendorong lebih ramai bakat wanita untuk tampil mengetuai transformasi industri," katanya di sini, baru-baru ini.
Wei Wei berkata, berada sebaris dengan ramai wanita hebat dan berjaya di rantau Asia merupakan pengalaman bermakna yang akan menjadi inspirasi sepanjang hayat kerjayanya.
Beliau berkata pengiktirafan itu juga menguatkan semangatnya untuk terus memimpin UOB Malaysia ke arah menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat secara keseluruhan.
Menurutnya, UOB Malaysia akan terus memperkukuh peranan profesional wanita melalui ekosistem kerja yang progresif dan inklusif.
Wei Wei turut menitipkan pesanan kepada pemimpin wanita yang sedang membina kerjaya.
"Kepada semua wanita yang sedang berusaha membina kerjaya, carilah minat dan tujuan dalam setiap perkara yang anda lakukan.
"Apabila dua perkara itu bertemu, anda bukan sahaja mampu mara lebih jauh, malah berupaya membawa lebih ramai bersama dalam perjalanan tersebut, dan di situlah terbentuknya perubahan yang benar-benar bermakna," katanya.
Anugerah MPW Asia 2025 menilai pencapaian tokoh wanita berdasarkan keupayaan kepimpinan, rekod prestasi, inovasi strategik serta impak mereka dalam memajukan industri masing-masing.
Pengiktirafan itu sekali lagi membuktikan keupayaan wanita Malaysia untuk bersaing di pentas global, selain menyumbang secara signifikan kepada daya saing ekonomi negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


