Ringkasan AI
- Pelakon veteran E.J. Carroll, terkenal menerusi siri The Deuce dan Boardwalk Empire, meninggal dunia pada usia 66 tahun.
- Kematian Carroll disahkan pengurusnya, Jon Mason, yang memaklumkan beliau meninggal secara mengejut ketika dalam perjalanan ke sesi rakaman suara.
- Sepanjang hampir tiga dekad kerjaya, Carroll membintangi pelbagai siri televisyen, filem dan turut terlibat dalam permainan video Grand Theft Auto V.
LOS ANGELES: Pelakon pembantu veteran Amerika Syarikat, E.J. Carroll, yang dikenali menerusi siri televisyen The Deuce, Boardwalk Empire serta permainan video Grand Theft Auto V, meninggal dunia pada usia 66 tahun.
Pengurusnya, Jon Mason, mengesahkan Carroll meninggal dunia secara mengejut pada pagi Khamis ketika dalam perjalanan ke sebuah sesi rakaman suara, namun tidak mendedahkan punca kematian.
Carroll paling dikenali menerusi watak Fat Mooney dalam musim pertama siri terbitan HBO, The Deuce pada 2017 sebelum kembali menjayakan watak sama pada musim ketiga siri itu pada 2019.
Beliau turut membawakan watak Sheriff Victor Sickles dalam dua episod siri drama jenayah Boardwalk Empire pada 2012, selain muncul dalam drama perundangan Damages pada tahun yang sama.
Dilahirkan pada 21 Mei 1960, Carroll memulakan kerjaya televisyennya pada 1998 menerusi siri Law & Order sebagai seorang anggota polis sebelum kembali muncul dalam beberapa siri francais sama termasuk Law & Order: Special Victims Unit dan Law & Order: Criminal Intent.
Sepanjang hampir tiga dekad kerjaya lakonannya, beliau sering membintangi pelbagai siri popular termasuk The Blacklist, High Maintenance, Pose, Blue Bloods dan siri adiwira Marvel, The Punisher.
Di layar perak, Carroll pernah beraksi dalam beberapa filem antaranya The Cake Eaters (2007), The Wrestler (2008), Everybody's Fine (2009), The Winning Season (2009) dan A Fish Story (2013).
Beliau turut sempat menyelesaikan penggambaran untuk filem biografi mengenai Vivien Leigh berjudul A Delicate Arrangement yang kini berada dalam fasa pascaproduksi.
Selain lakonan televisyen dan filem, suaranya digunakan bagi salah satu watak pejalan kaki dalam permainan video popular Grand Theft Auto V yang diterbitkan pada 2013.
Carroll juga pernah menyumbangkan suara bagi watak Dr Scott dalam pementasan konsert amal The Rocky Horror Tribute Show pada 2007 bagi mengumpul dana untuk kebajikan pesakit kanser.