MOSCOW: Risiko bakteria super Klebsiella pneumoniae yang kebal terhadap ubat merebak dengan pantas di seluruh Kesatuan Eropah (EU) dan Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) adalah tinggi, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kepada RIA Novosti.
"Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) menilai kebarangkalian penularan selanjutnya di EU/EEA sebagai tinggi, khususnya bagi strain yang mempunyai penanda genetik yang menunjukkan peningkatan tahap keganasan bakteria. Bakteria yang kebal terhadap ubat juga boleh merentasi sempadan bersama pesakit," menurut WHO.
Pada Rabu, ECDC memberi amaran mengenai penularan bakteria berbahaya Klebsiella pneumoniae di Eropah.
Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memaklumkan bahawa penularan jangkitan boleh diperlahankan menerusi pematuhan ketat terhadap langkah kawalan jangkitan di hospital, penggunaan antibiotik secara berhemat serta ujian makmal yang segera.
"Risiko paling besar ialah kehabisan pilihan rawatan. Apabila antibiotik karbapenem tidak lagi berkesan, doktor hanya mempunyai beberapa pilihan antibiotik 'pilihan terakhir' yang mahal dan tidak tersedia di semua negara.
"Pesakit yang menerima antibiotik pertama yang tidak berkesan terhadap jangkitan mereka lebih berisiko meninggal dunia di hospital," menurut amaran WHO.
Pertubuhan itu turut memaklumkan bahawa jangkitan bakteria kebal ubat menyebabkan pesakit perlu tinggal lebih lama di hospital dan meningkatkan kos rawatan, sekali gus menjadikan banyak prosedur perubatan moden lebih berisiko, termasuk rawatan rapi, pemindahan organ, rawatan kanser dan penjagaan bayi baru lahir.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI