Skip to main content

Bisnes

APEC tumpu usaha realisasikan aspirasi bersama untuk manfaat ekonomi

Pedrosa berkata rantau ini juga perlu memperkukuh kerjasama dalam ekonomi digital dan AI yang mempunyai potensi besar untuk meningkatkan produktiviti dalam sektor pertanian, perkhidmatan, tenaga dan perdagangan. - Gambar APEC
Pedrosa berkata rantau ini juga perlu memperkukuh kerjasama dalam ekonomi digital dan AI yang mempunyai potensi besar untuk meningkatkan produktiviti dalam sektor pertanian, perkhidmatan, tenaga dan perdagangan. - Gambar APEC

Ringkasan AI

  • Negara anggota APEC memperkukuh kerjasama dalam kesalinghubungan, transformasi digital dan kecerdasan buatan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi serantau.
  • China mencadangkan rangka kerja baharu kerjasama hingga 2035, memberi tumpuan kepada infrastruktur, peraturan cekap dan pembangunan sistem digital.
  • APEC turut menilai kemajuan ke arah Wawasan 2040, termasuk bidang perdagangan, inovasi dan pertumbuhan inklusif di tengah perubahan ekonomi global.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berusaha memperkukuh kerjasama dalam bidang kesalinghubungan, transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan matlamat bersama dapat direalisasikan, ketika rantau ini berdepan ketidaktentuan ekonomi yang semakin meningkat.

Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC Eduardo Pedrosa berkata kerjasama serantau yang lebih erat penting bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh daya tahan serta memastikan perniagaan dan pekerja dapat memanfaatkan peluang baharu yang muncul.

Beliau berkata langkah sedemikian dapat meningkatkan kesalinghubungan rentas sempadan, menyelaraskan peraturan serta memperkukuh sistem digital.

Advertisement

Usaha itu merupakan antara bidang yang boleh memberikan manfaat nyata kepada perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“China telah mencadangkan satu rangka kerja baharu bagi kerjasama kesalinghubungan sehingga 2035, berasaskan usaha APEC sepanjang dekad lalu.

Advertisement

“Tumpuan kini bukan sahaja kepada infrastruktur fizikal, malah turut merangkumi peraturan yang lebih cekap, sistem digital dan pergerakan orang ramai,” katanya dalam artikel blog yang disiarkan di laman web APEC pada Sabtu.

Pedrosa berkata rantau ini juga perlu memperkukuh kerjasama dalam ekonomi digital dan AI yang mempunyai potensi besar untuk meningkatkan produktiviti dalam sektor pertanian, perkhidmatan, tenaga dan perdagangan.

Bagaimanapun, akses kepada infrastruktur, kemahiran dan pelaburan yang diperlukan untuk memanfaatkan teknologi berkenaan masih tidak seimbang antara ekonomi anggota.

Beliau berkata cadangan China berhubung kerjasama dalam ekonomi digital dan AI memberi tumpuan kepada usaha membantu ekonomi anggota membangunkan infrastruktur, kemahiran dan keupayaan yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

“Usaha ini penting kerana produktiviti, pada hakikatnya, merupakan faktor yang membolehkan ekonomi meningkatkan taraf hidup dari semasa ke semasa,” katanya.

Pedrosa berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada keutamaan China selaku tuan rumah APEC, yang tertumpu kepada keterbukaan, inovasi, dan kerjasama; mencerminkan keperluan bagi rantau tersebut untuk mengekalkan pertumbuhan di tengah-tengah persekitaran ekonomi global yang semakin tidak menentu.

 

Menilai Kemajuan Ke Arah Mencapai Wawasan 2040 APEC 

 

Satu lagi keutamaan utama APEC tahun ini ialah menilai kemajuan ke arah mencapai wawasan jangka panjang organisasi itu bagi 2040, lima tahun selepas Pelan Tindakan Aotearoa diterima pakai, kata Pedrosa.

Beliau berkata ekonomi negara anggota sedang menilai pencapaian kerjasama dalam bidang perdagangan, inovasi dan pertumbuhan inklusif, selain mengenal pasti bidang yang memerlukan perhatian lanjut.

Pedrosa berkata negara anggota APEC sedang menilai perkembangan kerjasama dalam bidang perdagangan, inovasi dan pertumbuhan inklusif, selain mengenal pasti bidang yang masih memerlukan perhatian.

Kajian semula itu turut memberi peluang untuk menilai sama ada keutamaan APEC masih relevan dalam menghadapi perubahan corak perdagangan global dan perkembangan teknologi yang pesat.

Menyentuh aspek kesalinghubungan, beliau berkata prosedur kastam yang kurang cekap, keperluan dokumentasi serta sistem digital yang tidak sesuai boleh menyebabkan kelewatan dan meningkatkan kos perniagaan, meskipun barangan secara fizikal boleh dihantar merentasi lautan dalam tempoh beberapa hari.

Bagi perniagaan berskala kecil, kelemahan sedemikian boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk menembusi pasaran baharu dan kekal berdaya saing.

 

Konsensus Kekal Teras Kerjasama APEC 

 

Pedrosa berkata pendekatan APEC yang berasaskan konsensus dan komitmen sukarela membolehkan ekonomi anggota yang mempunyai keadaan serta keutamaan berbeza mencari titik persamaan dan bekerjasama mengikut kemampuan masing-masing.

Beliau berkata kerjasama tidak bermakna semua ekonomi anggota perlu mencapai persetujuan dalam setiap isu, sebaliknya mengenal pasti bidang kepentingan bersama seperti memudahkan urusan perdagangan, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serta membantu perniagaan dan pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Lebih 300 mesyuarat APEC telah diadakan di lebih 10 bandar di China sepanjang tahun ini.

Mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, daya tahan ekonomi serta meneroka peluang di seluruh rantau Asia Pasifik.

Pedrosa berkata hubungan ekonomi yang erat di rantau Asia Pasifik menerusi rantaian bekalan, pelaburan, teknologi dan pergerakan manusia menandakan bahawa keputusan yang dibuat oleh sesebuah ekonomi boleh memberi kesan besar kepada perniagaan, harga dan peluang pekerjaan di seluruh rantau ini.

Sementara itu, beliau berkata kejayaan mesyuarat kalangan pemimpin tidak seharusnya diukur berdasarkan kenyataan yang dipersetujui semata-mata, tetapi perlu mengambil kira komitmen yang dibuat serta hala tuju yang ditetapkan bagi kerjasama pada masa hadapan.

Ini kerana, katanya meskipun mesyuarat itu tidak akan menyelesaikan semua cabaran ekonomi, kerjasama serantau kekal penting, bagi mengurangkan halangan yang tidak perlu, memperkukuh daya tahan serta membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan dan pekerja untuk menyesuaikan diri dan terus maju.

Ukuran sebenar kejayaan adalah sejauh mana ekonomi anggota dapat menterjemahkan hasil mesyuarat itu kepada pengurangan kos, penyediaan infrastruktur yang lebih baik dan peluang ekonomi yang lebih luas selepas mesyuarat pemimpin berakhir, katanya.

“Itulah yang menjadikan usaha di Shenzhen penting, meskipun selepas para pemimpin pulang ke negara masing-masing,” kata Pedrosa.

Minggu Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 19 Nov di Shenzhen, menandakan kali ketiga China menjadi tuan rumah acara itu, selepas edisi terdahulu di Shanghai pada 2001 dan Beijing pada 2014.

APEC merupakan forum antara kerajaan yang dianggotai 21 ekonomi di rantau Lingkaran Pasifik bagi menggalakkan perdagangan bebas di rantau Asia Pasifik. Forum itu mewakili kira-kira tiga bilion penduduk dan 61.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global pada 2025.

Malaysia merupakan antara 12 anggota pengasas APEC bersama Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.

Sementara itu, China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertai APEC pada 1993. Chile menyertainya pada 1994, manakala Peru, Rusia dan Vietnam menyertai APEC pada 1998, menjadikan jumlah keanggotaan penuh sebanyak 21.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement