BANGKOK: Penyanyi popular Aina Abdul meraih tempat keempat dalam pertandingan Eurovision Song Contest Asia (Eurovision Asia) 2026 yang selesai berlangsung pada Sabtu malam di Bangkok, Thailand.
Mempertaruhkan lagu balada penuh bertenaga berjudul Bluest Sky, hasil ciptaannya bersama Mac Chew, Aina berjaya memukau para juri dan penonton antarabangsa dengan mengumpul 152 markah keseluruhan.
Sejak kempen penyertaannya bermula, keistimewaan lagu lantunan Aina itu mendapat tumpuan para peminat dan pemerhati dunia hiburan tempatan dan antarabangsa, termasuk para pengulas dunia hiburan, lebih-lebih lagi setelah pelancaran muzik video rasminya pada pertengahan Oktober lalu.
Juara pertandingan Eurovision Asia disandang wakil dari Filipina, Carmelle, yang membawakan lagu rancak Sobra-Sobra, manakala tempat kedua diraih peserta duet tuan rumah, Mang dan Daou dengan lagu Aroma. Tempat ketiga ialah wakil Vietnam, Toc Tien, dengan lagu Em Tien.
Mereka masing-masing menghimpunkan sejumlah 211, 170 dan 164 markah.
Para peserta Eurovision Asia ditentukan markah masing-masing daripada kombinasi 50 peratus undian juri profesional setiap negara bertanding dan 50 peratus lagi daripada undian penonton awam.
Dalam pertandingan yang menghimpunkan wakil dari 11 negara Asia itu, persembahan Aina yang mendapat giliran terakhir, cukup dinanti-nantikan para peminat Malaysia yang memberikan sokongan dari tanah air mahupun yang hadir menyaksikannya secara langsung di pentas One Bangkok Forum.
Bergemerlapan dalam gaun cerah dengan perincian manik sentuhan artistik pereka Melinda Looi, Aina membawakan kelainan dengan menghidupkan pesona tema air, yang selari dengan rangkap awal lirik lagunya iaitu metafora yang mengaitkan elemen itu dengan cinta.
Negara-negara lain yang turut mengambil bahagian ialah Nepal, Korea Selatan, Mongolia, Bangladesh, Kemboja, Laos dan Bhutan.
Pentas final yang dihoskan oleh pasangan pengacara Cindy Bishop dan Woody Milintachinda itu turut dihiburkan dengan persembahan juara Eurovision 2026 dari Bulgaria, Dara, dengan lagunya Bangaranga, serta superstar tuan rumah, Jeff Satur.