Bank Pembangunan terkemuka, SME Bank mengumumkan pelantikan Aria Putera Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuatkuasa 3 September 2018, kata bank itu dalam satu kenyataan.

Aria dilantik mengisi kekosongan kerusi CEO selepas Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus bersara pada 30 Jun 2017.

“Dengan pengalaman lebih 18 tahun dalam bidang perbankan dan pelaburan, Aria berkebolehan dalam mencapai sasaran kewangan serta memberikan penyelesaian patuh syariah, rundingan urus janji serta inovasi produk yang boleh meningkatkan keuntungan dan kecekapan transaksi.” Kata bank itu.

Sebelum ini, Aria merupakan Pengarah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Syariah Indonesia (MSI) yang memberi fokus kepada segmen korporat kecil, sederhana dan besar di Indonesia.

Beliau juga bertanggungjawab terhadap penyusunan semua pelan perbankan syariah bagi Kumpulan MSI di Indonesia yang merangkumi pembangunan modal insan, inovasi produk dan juga pasaran baharu.

Selain itu beliau turut menjawat jawatan Pengarah, Pasaran Global Islam di Maybank Islamic Berhad (MIB).

“Sewaktu memegang jawatan tersebut, beliau bertanggungjawab mengurus dan mengawasi operasi perbendaharaan Islam global dan membangunkan strategi untuk meningkatkan keupayaan perbendaharaan Islam dan penawaran produk.” tambah bank itu lagi.

Sebelum menyertai Maybank Islamic, Aria merupakan Pengurus Kanan Pasaran Islam Global di Hong Leong Islamic Bank di mana beliau telah membantu Kumpulan tersebut melancarkan Perbankan Islam pertama di Hong Kong pada tahun 2008.

Beliau berjaya mengulangi kejayaan tersebut bersama Maybank Islamic Bank pada tahun 2012 dengan menubuhkan pasaran Islam untuk Maybank Berhad cawangan Hong Kong.

Aria memulakan kariernya sebagai seorang pegawai di Maybank Finance Berhad pada tahun 2000 dan kemudiannya menerima jawatan di Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2001.

“Sebagai seorang pegawai BNM yang berkebolehan dan di atas pencapaian dan sumbangan beliau, Aria telah dianugerahkan dengan beberapa anugerah seperti Anugerah Kreatif dan Inovatif (Projek ISCAP), Anugerah Kreatif (Anugerah SUKUK Bank Negara Malaysia) dan Anugerah Kerja Berpasukan (Projek TERAS) pada tahun 2005 dan 2002.” Menurut kenyataan itu.

Aria memegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dengan pengkhususan Perbankan Islam dan Kewangan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Kewangan dan Diploma Analisis Pelaburan dari Universiti Teknologi MARA.

Didorong oleh minat beliau dalam FinTech dan inovasi perbankan dan pembiayaan, Aria dijangka membawa SME Bank ke tahap yang lebih tinggi dalam mencapai kejayaan membimbing dan membangunkan PKS negara.