KUALA LUMPUR: Syarikat milik penuh bumiputera, VFive Group percaya imbal balik keuntungan dan konsep perkongsian kemakmuran melalui kerja amal serta kebajikan menjadi paksi utama yang akan terus diamalkan syarikat.

Ketua Pengarah Eksekutifnya, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, pihaknya sentiasa berpegang kepada konsep keberkatan dalam setiap urus niaga dijalankan. 

Justeru, sebagai entiti perniagaan dengan objektif keuntungan, konsep tersebut adalah teras dan diguna pakai dalam menjalankan kerja bakti, kebajikan dan dermawan.

“Antara salah satu daripada 15 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) VFive Group yang disasarkan bagi tahun 2021 adalah memperkasakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu masyarakat dan golongan yang kurang berkemampuan.

“Penanda aras kejayaan VFive Group yang dicapai bagi tahun 2021 adalah dengan penubuhan sebuah organisasi di bawah naungannya, iaitu Yayasan VFive yang bertanggungjawab melaksanakan CSR kepada golongan memerlukan,” katanya pada majlis makan malam tahunan VFive Group di Hotel Royale Chulan, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, tambah Mohd Syafiq, pihaknya turut meletakkan sasaran bagi program CSR yang akan dijalankan pada 2022 melibatkan perbelanjaan kira-kira RM8 juta.

“Antaranya, meningkatkan jumlah program kebajikan, mempermudah dan melancarkan agihan perbelanjaan untuk semua masjid, surau dan pusat tahfiz di seluruh kawasan Ampang dan Pandan.

“Selain itu, meningkatkan bantuan kepada 2,000 kampit beras sempena program Yayasan VFive ‘Kembara Beras’ dan meningkatkan sumbangan sempena program ‘Gerobok Rezeki’ kepada 20 lokasi meilbatkan masjid dan surau di seluruh kawasan Ampang dan Pandan.

“Menambah jumlah sumbangan makanan percuma kepada barisan hadapan pada setiap Jumaat termasuk sumbangan 10,000 bungkusan nasi lemak kepada masjid, surau, Transit Aliran Ringan (LRT) dan kepada petugas barisan hadapan di seluruh kawasan Ampang dan Pandan.

Turut disasarkan adalah pembinaan masjid Vfive, Vfive Groceries Mart dan rangkaian televisyen Yayasan VFive melalui kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan Astro.