Skip to main content

Malaysia

664 kes dera, orang dekat antara pelaku di Kelantan

Che Samsuzuki berkata JKM mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan yang diterima menerusi siasatan, lawatan ke lokasi kejadian dan penilaian tahap keselamatan mangsa dengan kerjasama polis serta pihak hospital. - Gambar fail/Bernama
Che Samsuzuki berkata JKM mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan yang diterima menerusi siasatan, lawatan ke lokasi kejadian dan penilaian tahap keselamatan mangsa dengan kerjasama polis serta pihak hospital. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KOTA BHARU: Ibu bapa kandung dan tiri serta ahli keluarga dikenal pasti antara individu yang terlibat dalam kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak di Kelantan, dengan 664 kes direkodkan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Che Samsuzuki Che Noh berkata pelaku turut terdiri daripada adik-beradik kandung atau tiri, teman lelaki ibu, saudara-mara termasuk bapa saudara dan sepupu serta kenalan ahli keluarga.

Beliau berkata terdapat juga kes membabitkan individu tidak dikenali yang mengambil kesempatan mendekati mangsa menerusi platform media sosial seperti TikTok dan Facebook.

Advertisement

"Masalah keluarga termasuk tekanan kewangan, perceraian dan penyalahgunaan dadah antara faktor yang menyumbang kepada kejadian penderaan serta pengabaian kanak-kanak," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, statistik bagi tempoh dua tahun menunjukkan gangguan fizikal merupakan kategori tertinggi dengan 217 kes, diikuti gangguan seksual (181) dan gangguan emosi (10), melibatkan mangsa berusia bawah 19 tahun.

Advertisement

Beliau berkata Kota Bharu merekodkan jumlah tertinggi, iaitu 257 kes bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, diikuti Pasir Mas (62) dan Gua Musang (59).

Pada tahun lepas, sebanyak 667 kes direkodkan di seluruh Kelantan dengan Kota Bharu turut mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 221 kes, diikuti Tumpat (77) dan Gua Musang (62).

Che Samsuzuki berkata JKM mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan yang diterima menerusi siasatan, lawatan ke lokasi kejadian dan penilaian tahap keselamatan mangsa dengan kerjasama polis serta pihak hospital.

Kanak-kanak yang dikenal pasti berada dalam persekitaran berbahaya akan diselamatkan dan ditempatkan di lokasi perlindungan bersesuaian, selain diberikan pemeriksaan kesihatan serta sokongan psikososial bagi membantu proses pemulihan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement