Skip to main content

Sukan

ONE Championship: Nong-O tumbangkan Rodtang

Aksi berbalas tumbukan dan tendangan berterusan sehingga pusingan terakhir, namun Nong-O berjaya mengawal pertarungan sebelum ketiga-tiga juri memberikan kemenangan kepadanya. - Foto tangkap layar YouTube ONE Championship
Aksi berbalas tumbukan dan tendangan berterusan sehingga pusingan terakhir, namun Nong-O berjaya mengawal pertarungan sebelum ketiga-tiga juri memberikan kemenangan kepadanya. - Foto tangkap layar YouTube ONE Championship

Ringkasan AI

  • Nong-O Hama menewaskan Rodtang Jitmuangnon menerusi keputusan sebulat suara dalam suku akhir ONE Flyweight Muay Thai World Grand Prix 2026-2027 di Bangkok.
  • Kemenangan ini membolehkan Nong-O, 40, mara ke separuh akhir dan membuktikan beliau masih mampu bersaing di peringkat tertinggi walaupun berusia empat dekad.
  • Pertarungan sengit tiga pusingan itu menyaksikan kedua-dua jaguh Thailand berbalas serangan, dengan Nong-O memperoleh kelebihan pada pusingan kedua.
Advertisement

LEGENDA Muay Thai Thailand, Nong-O Hama membuktikan usia bukan penghalang apabila menewaskan bekas juara dunia ONE, Rodtang Jitmuangnon dalam aksi suku akhir ONE Flyweight Muay Thai World Grand Prix 2026-2027 di Stadium Lumpinee, Bangkok, pada Jumaat.

Nong-O, 40, meraih kemenangan menerusi keputusan sebulat suara juri (unanimous decision) selepas mengharungi pertarungan sengit tiga pusingan menentang Rodtang, 29, sekali gus mengesahkan tempatnya ke separuh akhir kejohanan itu.

Meskipun dipisahkan jurang usia 11 tahun, kedua-dua jaguh Thailand itu mempamerkan aksi agresif dengan saling berbalas serangan sejak pusingan awal.

Advertisement

Bagaimanapun, Nong-O yang pernah mempertahankan gelaran dunia ONE Muay Thai bantamweight sebanyak lapan kali, memperoleh kelebihan pada pusingan kedua apabila berjaya menjatuhkan Rodtang.

Rodtang bagaimanapun segera bangkit dan terus melancarkan serangan bertubi-tubi dalam usaha mengejar kedudukan, menyaksikan kedua-dua petarung berlumuran darah akibat pertarungan sengit itu.

Advertisement

Aksi berbalas tumbukan dan tendangan berterusan sehingga pusingan terakhir, namun Nong-O berjaya mengawal pertarungan sebelum ketiga-tiga juri memberikan kemenangan kepadanya.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Nong-O meneruskan pemburuannya untuk merangkul kejuaraan Grand Prix, selain membuktikan beliau masih mampu bersaing di peringkat tertinggi meskipun sudah memasuki usia empat dekad.

Pertemuan dua jaguh Thailand itu sebelum ini dijadual berlangsung pada ONE 173, November tahun lalu, namun dibatalkan selepas Rodtang mengalami masalah kesihatan menjelang pertarungan.

Rodtang, bekas juara dunia ONE Muay Thai flyweight, memasuki gelanggang dengan misi menebus kekalahan TKO kepada jaguh Jepun, Takeru Segawa pada April lalu.

Sementara itu, Nong-O sebelum ini turut bangkit daripada kekalahan kepada Asadula Imangazaliev dengan menewaskan Kongthoranee Sor Sommai pada Jun lalu.
 

Must Watch Video

Advertisement