Skip to main content

Dunia

Microsoft lapor kemajuan pulih perkhidmatan selepas gangguan global lebih 12 jam

Microsoft memaklumkan bahawa pihaknya terus memantau aktiviti di pelbagai rantau, menilai prestasi pelayan serta langkah untuk meningkatkan kapasiti sistem. - Gambar fail/AP
Microsoft memaklumkan bahawa pihaknya terus memantau aktiviti di pelbagai rantau, menilai prestasi pelayan serta langkah untuk meningkatkan kapasiti sistem. - Gambar fail/AP
Advertisement

ISTANBUL: Microsoft melaporkan kemajuan dalam usaha memulihkan perkhidmatannya susulan gangguan meluas di seluruh dunia yang menjejaskan akses kepada Outlook, Microsoft 365, Teams dan produk lain selama lebih 12 jam, lapor Anadolu Ajansi.

Syarikat itu memaklumkan bahawa pihaknya mencatat “sedikit kejayaan” selepas melaksanakan pembaikan perisian dan memulakan semula infrastruktur sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan.

Dalam kemas kini yang disiarkan di halaman Status Kesihatan Perkhidmatan pada awal Jumaat, Microsoft memaklumkan bahawa pihaknya terus memantau aktiviti di pelbagai rantau, menilai prestasi pelayan serta langkah untuk meningkatkan kapasiti sistem.

Advertisement

Syarikat itu kemudian melaporkan peningkatan selanjutnya, dengan menyatakan bahawa langkah pengoptimuman trafik terkini memberikan “hasil positif terhadap kestabilan perkhidmatan dan peningkatan kapasiti”.

“Usaha pemulihan masih diteruskan di seluruh infrastruktur yang terjejas. Kami melihat tanda awal kestabilan, namun kapasiti perkhidmatan masih belum kembali ke paras normal dan keadaan sistem masih berubah-ubah ketika trafik diperkenalkan semula secara berhati-hati,” menurut syarikat itu.

Advertisement

Perkembangan berkenaan menunjukkan tanda kemajuan selepas usaha pemulihan terdahulu gagal memberikan hasil yang dijangkakan, menyebabkan jutaan pengguna berdepan masalah sambungan.

Microsoft sebelum ini mengenal pasti pelayan yang secara tidak dijangka tidak dapat digunakan sebagai faktor utama gangguan itu, sekali gus memberikan tekanan tambahan kepada infrastruktur yang masih beroperasi.

Gangguan berkenaan menjejaskan peti mel Exchange Online serta akses kepada Outlook, Microsoft 365 dan Teams di pelbagai rantau.

Menurut Downdetector, jumlah laporan gangguan di Amerika Syarikat (AS) melebihi 97,000 bagi Outlook, 38,000 bagi Microsoft 365 dan 4,500 bagi Teams.

Microsoft memaklumkan bahawa pihaknya tidak mengetahui sebarang aktiviti berniat jahat yang dikaitkan dengan insiden itu, namun akan terus memberikan keutamaan kepada usaha menangani gangguan berkenaan sehingga semua perkhidmatan pulih sepenuhnya.

Syarikat itu turut berjanji untuk menerbitkan laporan terperinci selepas insiden itu diselesaikan, yang akan menjelaskan punca utama gangguan serta langkah memperkukuh daya tahan infrastruktur.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement