LONDON: AstraZeneca dilapor sedang mengadakan perbincangan awal mengenai kemungkinan penggabungan dengan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Bristol Myers Squibb (BMS), dalam urus niaga yang berpotensi mewujudkan syarikat bernilai hampir £300 bilion (kira-kira RM1.7 trilion).
Sekiranya dimuktamadkan, penggabungan itu dijangka mewujudkan syarikat farmaseutikal keempat terbesar di dunia berdasarkan nilai pasaran.
Menurut laporan media kewangan antarabangsa, kedua-dua syarikat telah mengadakan perbincangan selama beberapa bulan, namun tiada jaminan bahawa rundingan tersebut akan menghasilkan perjanjian muktamad.
Laporan mengenai potensi penggabungan itu menyebabkan saham AstraZeneca merosot lebih tujuh peratus pada awal dagangan di Bursa Saham London, manakala saham BMS meningkat dalam urus niaga prapasaran di New York.
Penganalisis berkata penggabungan tersebut berpotensi mengukuhkan portfolio kedua-dua syarikat, khususnya dalam bidang onkologi serta rawatan kardiovaskular, namun dijangka berdepan penelitian ketat pihak berkuasa kawal selia berikutan pertindihan perniagaan mereka dalam sektor rawatan kanser.
AstraZeneca sebelum ini menolak tawaran pengambilalihan bernilai kira-kira AS$118 bilion daripada Pfizer pada 2014 dan mengekalkan kedudukannya sebagai syarikat bebas.