Ringkasan AI
- Beberapa laluan utama di Selangor terjejas akibat banjir kilat dan runtuhan jambatan di Jalan Kubu Gajah, Daerah Petaling.
- Laluan utama Kampung Kubu Gajah ke Paya Jaras Hilir terputus sepenuhnya, dengan laluan alternatif dan jambatan sementara akan disediakan.
- Beberapa kawasan lain turut terjejas banjir kilat, namun laluan di persimpangan Shah Alam ke utara telah dibuka semula kepada kenderaan.
SUNGAI BULOH: Beberapa laluan utama serta kawasan di Selangor dilaporkan terjejas susulan banjir kilat akibat hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi, termasuk kejadian runtuhan jambatan di Jalan Kubu Gajah merentasi Sungai Subang, Daerah Petaling.
Menurut laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling, struktur jambatan jalan negeri berkenaan runtuh kira-kira 2 pagi akibat arus deras Sungai Subang berikutan bacaan hujan mencecah 48 milimeter di Stesen Paya Jaras Hilir yang menghakis kestabilan tebing.
Kejadian itu menyebabkan laluan utama yang menghubungkan Kampung Kubu Gajah ke Paya Jaras Hilir terputus sepenuhnya dan ditutup kepada semua jenis kenderaan bagi menjamin keselamatan pengguna.
Bagi mengurangkan gangguan lalu lintas, Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah diaktifkan dengan pengguna ke Merbau Sempak dan Kubu Gajah dilencongkan melalui Jalan Merbau Sempak menghala ke Masjid Nurul Iman, manakala laluan ke Paya Jaras Hilir boleh dilalui menerusi Jalan Paya Jaras Hilir dari Laluan Persekutuan 54 (FT54).
Pihak JKR memaklumkan jambatan sementara jenis “Bailey” akan dipasang sebagai langkah jangka sederhana bagi memulihkan perhubungan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata beberapa kawasan lain yang turut terjejas banjir kilat meliputi Sungai Buloh, Paya Jaras, Kampung Melayu Subang, Rawang serta beberapa lokasi di sekitar Shah Alam, dengan pasukan bomba kini sedang giat melakukan pemantauan di lapangan.
Dalam perkembangan berkaitan, situasi banjir kilat di lebuh raya utama mula menunjukkan trend surut, termasuk di persimpangan Shah Alam menerusi pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Jurucakap LLM memaklumkan laluan di persimpangan Shah Alam menghala ke utara kini telah dibuka semula kepada kenderaan melibatkan lorong kanan dan tengah.
"Bagaimanapun, laluan ke arah selatan di persimpangan berkenaan masih ditutup sementara bagi tujuan pembersihan sisa halangan dan kerja pemeriksaan keselamatan sebelum ia dibuka sepenuhnya dalam masa terdekat.
"Setakat ini, tiada laluan lebuh raya lain dilaporkan dinaiki air," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
-- BERNAMA