KUALA LUMPUR: AstroBiz memperkenalkan tiga saluran televisyen eksklusif baharu serta penyelesaian teknologi IPS bagi meningkatkan pengalaman tetamu hotel di Malaysia.
Tiga saluran berkenaan iaitu iQIYI, U Panda TV dan Mango TV diperkenalkan khusus bagi memenuhi permintaan pelancong dari China yang semakin meningkat.
Ketua Bahagian Perniagaan Astro, Tan Sian Tuang berkata, penawaran saluran baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat memperluas pilihan hiburan yang bersesuaian dengan keperluan tetamu hotel.
“Kami sangat teruja memperkenalkan tiga saluran baharu yang menyasarkan pelancong dari China, iaitu iQIYI, U Panda TV dan Mango TV.
“Ketiga-tiga saluran ini disediakan khusus untuk hotel bagi memenuhi permintaan pelancong China yang semakin meningkat,” katanya.
Dalam masa sama, AstroBiz turut melancarkan penyelesaian teknologi IPS bagi memudahkan pemasangan dan pengurusan peralatan penyiaran di hotel.
Menurut Sian Tuang, sistem itu membolehkan pengusaha hotel mengurus penyampaian kandungan dengan lebih mudah, selain menyediakan pemantauan dan kawalan secara proaktif.
Penawaran baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha AstroBiz memperkukuh perkhidmatannya kepada sektor hospitaliti, selepas tiga dekad menjalin kerjasama dengan industri berkenaan.