BALIK PULAU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan hampir 1,600 tan metrik stok penimbal ikan bagi memastikan bekalan makanan itu mencukupi dan tidak terputus ketika Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.
Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata persediaan itu turut disokong organisasi swasta menerusi memorandum persefahaman (MoU) bagi memastikan bekalan ikan dapat diteruskan sekiranya berlaku kelewatan bekalan atau kekurangan di pasaran.
"Selain itu, kita ada lebih 2,000 peniaga terlibat dengan ikan import yang menjadi antara mekanisme membantu menjamin kesinambungan bekalan ikan sepanjang tempoh berkenaan.
"Alhamdulillah, seperti pada tahun-tahun lepas, bekalan ikan sentiasa ada dan kita akan kekalkan momentum itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama-sama Nelayan di Teluk Bahang di sini hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan tiga gelombang hujan diramal berlaku sepanjang tempoh MTL dari November hingga Mac tahun depan di Pantai Timur dan fasa peralihan monsun dijangka berakhir pada hujung bulan ini sebelum musim tengkujuh bermula bulan depan.
Muhammad Faiz berkata stok simpanan ikan berkenaan ditempatkan di kompleks LKIM yang mempunyai kemudahan bilik sejuk atau bilik penyimpanan sebelum diuruskan oleh persatuan nelayan yang terlibat.
Beliau berkata stok ikan itu tidak disimpan terlalu lama bagi memastikan kesegaran dan kualitinya terpelihara serta bekalan akan ditambah secara berterusan.
''Antara persatuan yang terlibat ialah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah serta Persatuan Nelayan di Besut, Kemaman dan Kuantan,'' katanya.
Muhammad Faiz berkata LKIM turut menyediakan peruntukan pembangunan bagi membina dan membaik pulih jeti pendaratan ikan yang uzur bagi memastikan kemudahan itu terus dapat digunakan oleh nelayan dengan peruntukan lebih RM2 juta tahun ini untuk pembinaan empat jeti, dengan kos setiap satu dianggarkan lebih RM500,000.
Pada majlis itu, LKIM turut menyalurkan peruntukan RM943,000 bagi tiga program dan inisiatif pembangunan untuk manfaat komuniti nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Teluk Bahang dan daripada jumlah itu, RM693,000 diperuntukkan bagi elaun sara hidup untuk tempoh Januari hingga September.
Sebanyak RM200,000 pula diperuntukkan bagi projek membina dan menaik taraf infrastruktur pusat agropelancongan PNK Teluk Bahang, manakala RM50,000 disediakan menerusi Program Peningkatan Produktiviti Nelayan B40 PNK Teluk Bahang.
Seramai 31 orang daripada PNK Teluk Bahang turut menerima pelbagai bantuan antaranya enjin bot, pukat dan tong insulasi.
-- BERNAMA