KUALA LUMPUR: Astro perlu terus berinovasi, menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta menghasilkan kandungan yang lebih berkualiti bagi memastikan syarikat kekal relevan dalam landskap media yang semakin berubah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata masa depan syarikat itu bergantung kepada keupayaan seluruh warga kerjanya untuk berfikir secara berbeza, mencari pendekatan baharu dan memperbaiki perkara yang tidak berfungsi dengan baik.
Beliau berkata Astro juga perlu terus memperkasa bakat tempatan serta mengetengahkan cerita yang mencerminkan jiwa dan identiti rakyat Malaysia.
“Jika semua orang berinovasi, jika semua orang berfikir secara berbeza dan mencari pendekatan berbeza untuk mengubah apa yang tidak berfungsi dengan baik, kita akan menjadi syarikat yang jauh lebih baik.
“Pelanggan, penonton, pendengar dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya akan melihat, mendengar dan mengalami Astro yang berbeza serta lebih baik,” katanya dalam ucapan semasa pelancaran sambutan Astro 30 bersama warga kerja Astro, pada Selasa.
Pada majlis itu, seramai 50 warga kerja yang berkhidmat bersama Astro sejak penubuhannya pada 1996 diraikan, dengan masing-masing menerima baucar khas.
Dalam pada itu, seorang warga kerja yang sudah tiga dekad bersama Astro, Mohd Rizal Zainal Abidin berkata perkembangan teknologi dan kemunculan media sosial memberi perubahan ketara terhadap tabiat penggunaan media dalam kalangan masyarakat.
"Dahulu televisyen menjadi medium utama yang ditonton seisi keluarga, kini semakin ramai beralih kepada media sosial menerusi telefon pintar masing-masing.
"Keadaan itu menjadi antara cabaran utama Astro, khususnya dalam usaha menarik semula penonton kepada televisyen menerusi penambahbaikan kandungan dan program yang ditawarkan," katanya ketika ditemui selepas acara.
Seorang lagi warga Astro, Paraman Arumugan pula berkata syarikat turut menyediakan pelbagai program latihan dan aktiviti pembangunan kakitangan, termasuk latihan membina pasukan, motivasi, latihan promosi serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Peluang untuk terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan turut diberikan kepada warga Astro mewujudkan keseimbangan antara tuntutan kerja dan aktiviti bersama.
“Kita bekerja, tetapi bekerja dalam suasana yang ceria dan bersemangat," katanya.