Skip to main content

Malaysia

MITI, Kastam siasat dakwaan cip AI dieksport semula melalui Malaysia

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • MITI sedang bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan untuk menyiasat eksport semula cip dari atau melalui Malaysia ke negara lain.
  • Semakan akan dilakukan secara bebas mengikut undang-undang Malaysia dan berdasarkan bukti sedia ada untuk memastikan pematuhan eksport.
  • Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan MITI sebanyak RM1.98 bilion bagi 2027 selepas perbahasan oleh 13 Ahli Parlimen.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi menentukan sama ada mana-mana cip yang dibawa masuk ke Malaysia dari atau melalui Malaysia telah dieksport semula ke negara lain.

Timbalan Menterinya Sim Tze Tzin berkata ia termasuk sama ada pengeksportan semula itu dijalankan selaras dengan undang-undang.

“Malaysia akan menjalankan semakannya sendiri secara bebas, selaras dengan undang-undang Malaysia dan berdasarkan bukti yang sedia ada,” katanya. 

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi MITI di Dewan Rakyat hari ini.

Sim berkata MITI akan meneruskan libat urus dengan pemain industri bagi mengenal pasti tahap pendedahan, menilai implikasi terhadap operasi dan eksport syarikat tempatan serta memberikan panduan berkaitan keperluan pematuhan kawalan eksport.

Advertisement

“Langkah ini penting bagi memastikan industri semikonduktor tempatan terus mengekalkan akses kepada pasaran antarabangsa, daya saing dan kedudukannya dalam rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan MITI berjumlah RM1,976,267,500 bagi 2027 seperti diperuntukkan dalam Belanjawan 2027 dengan suara majoriti, selepas dibahaskan 13 Ahli Parlimen.

Persidangan bersambung Isnin.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement