KUALA LUMPUR: Aurelius Technologies Berhad (ATech), penyedia perkhidmatan perkilangan elektronik (EMS) bagi produk elektronik perindustrian, menerusi subsidiari milik penuhnya BCM Electronics Corporation Sdn. Bhd. mengumumkan pelantikan Michael Lee Siang Tat, 47, sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Syarikat berkuat kuasa pada Isnin.

Michael memiliki lebih 25 tahun pengalaman kerja di dalam industri perkilangan elektronik, dan arif dengan pelbagai pemprosesan operasi termasuk kejuruteraan pemprosesan dan produk, kejuruteraan peralatan dan penyenggaraan, pengurusan kos, kualiti pengeluaran dan operasi.

Beliau bermula di BCM pada 2005 dan meningkat maju hingga ke jawatan terakhirnya sebagai Pengarah Teknologi Melekap Permukaan (Surface Mount Technology atau SMT), Penyenggaraan & Fasiliti.

Michael telah dilantik sebagai COO bagi EG Industries Berhad pada 2020 di mana beliau memainkan peranan penting memacu keseluruhan operasi perkilangan kumpulan, termasuk kejuruteraan, perancangan pengeluaran dan kualiti operasi, bagi membolehkan kumpulan mencapai matlamat-matlamat strategiknya.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim Kumpulan dan Ketua Pegawai Kewangan ATech, Loh Hock Chiang berkata,

''Kami masih berdukacita terhadap pemergian pengasas bersama dan CEO syarikat, mendiang Lee Chong Yeow tetapi kami tahu bahawa mendiang tentu mahu kami meneruskan perancangan bagi menjayakan perniagaan.

''Kami memulakan rancangan peralihan kuasa kami beberapa tahun lalu dengan mengenal pasti individu dengan pengalaman dan sesuai untuk jawatan ini.

''Kami mengalu-alukan kepulangan Michael kepada keluarga BCM dan ATech, dan kami yakin bahawa pengalaman luas beliau akan menambah kekuatan kepada pasukan pengurusan sementara memenuhi jawatan utama di dalam pengendalian operasi perniagaan,’’ katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Sementara itu, Michael merakamkan penghargaan kepada Loh dan mendiang Lee atas keyakinan mereka untuk beliau kembali menyertai ATech.

''Saya akan berusaha utuk membawa ATech meraih kecekapan operasi yang lebih tinggi dengan bekerja rapat bersama pasukan pengurusan untuk mencapai pertumbuhan dan perluasan fasa seterusnya,’’ katanya.

* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.