Skip to main content

Dunia

Thailand gesa pengunjung utamakan keselamatan pada Festival Loy Krathong

Ploythalay Laksameesaengchan berkata pihak berkuasa memperketat kawalan terhadap penggunaan bunga api dan tanglung terbang, khususnya di kawasan tertutup serta berhampiran pusat hiburan dan hotel. - Foto Kerajaan Diraja Thailand
Ploythalay Laksameesaengchan berkata pihak berkuasa memperketat kawalan terhadap penggunaan bunga api dan tanglung terbang, khususnya di kawasan tertutup serta berhampiran pusat hiburan dan hotel. - Foto Kerajaan Diraja Thailand
Advertisement

BANGKOK: Thailand menggesa orang ramai yang meraikan Festival Loy Krathong pada Selasa supaya mengelakkan penggunaan bunga api, mercun, tanglung terbang serta melepaskan tembakan ke udara sebagai tanda meraikan perayaan itu, susulan lebih 3,300 kes kecederaan berkaitan bunga api dalam tempoh tiga tahun.

Jurucakap kerajaan Ploythalay Laksameesaengchan berkata pihak berkuasa memperketat kawalan terhadap penggunaan bunga api dan tanglung terbang, khususnya di kawasan tertutup serta berhampiran pusat hiburan dan hotel.

"Individu yang melanggar undang-undang berkaitan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga 60,000 baht (kira-kira RM7,274.85), atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman web Kerajaan Diraja Thailand pada Isnin.

Advertisement

Memetik data Jabatan Kawalan Penyakit, Ploythalay berkata seramai 3,314 individu cedera dalam insiden berkaitan bunga api antara 2023 hingga 2025.

Beliau turut memberi amaran bahawa perbuatan melepaskan tembakan ke udara boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta menggesa pengunjung festival supaya mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan penganjur dan sentiasa mengawasi kanak-kanak.

Advertisement

Semasa Festival Loy Krathong, masyarakat Thailand berkumpul di sungai dan terusan untuk menghanyutkan krathong, iaitu bekas kecil yang secara tradisinya diperbuat daripada daun pisang dan dihiasi bunga, lilin serta colok.

Upacara itu bertujuan menghormati dewi air dan memohon maaf atas perbuatan mencemarkan sungai dan terusan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement