BISNES
Badan kawal selia Singapura beri kelulusan bersyarat bagi kerjasama Malaysia Airlines - SIA

Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) pada Isnin memberikan kelulusan bersyarat untuk cadangan kerjasama komersial antara Singapore Airlines Ltd (SIA) dan Malaysia Airlines Bhd (MAB). - Gambar hiasan
SINGAPURA: Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) pada Isnin memberikan kelulusan bersyarat untuk cadangan kerjasama komersial antara Singapore Airlines Ltd (SIA) dan Malaysia Airlines Bhd (MAB).
Cadangan kerjasama itu akan menyaksikan kedua-dua syarikat penerbangan tersebut bekerjasama dalam penjadualan, penetapan harga, jualan dan pemasaran dan bahagian komersial lain, dengan tujuan mewujudkan pakatan perkongsian untuk perkhidmatan antara Singapura dan Malaysia.
CCCS menerusi satu kenyataan berkata, syarikat penerbangan tersebut telah mengemukakan cadangan komitmen untuk menangani kebimbangan suruhanjaya itu terhadap penyelarasan harga dan kapasiti yang boleh mengehadkan persaingan di laluan Singapura-Kuala Lumpur (dan sebaliknya).
Cadangan komitmen itu termasuklah mengekalkan kapasiti tempat duduk mingguan pada tahap semasa, meningkatkan kapasiti apabila memenuhi penanda aras prestasi tertentu, melaporkan data operasi tahunan untuk syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) mereka di laluan tersebut dan melantik juruaudit bebas untuk memantau pematuhan."Dengan mengambil kira perkembangan pasaran, termasuk penamatan operasi oleh Jetstar Asia Airways Pte Ltd pada hujung bulan ini, CCCS menerima cadangan komitmen itu sebagai mencukupi untuk menangani kebimbangan persaingannya yang mungkin timbul daripada cadangan kerjasama itu," kata suruhanjaya tersebut.
CCCS berkata, tiada sebarang kebimbangan dibangkitkan oleh pihak berkepentingan industri semasa tempoh perundingan dari 11 Februari hingga 4 Mac 2025.
Ketua Eksekutifnya, Alvin Koh berkata, usaha sama itu boleh meningkatkan ketersambungan dan menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengembara.
"Cadangan komitmen yang ditawarkan oleh Singapore Airlines dan Malaysia Airlines menyediakan fleksibiliti untuk bertindak balas terhadap perkembangan pasaran dan memastikan lebih banyak penerbangan akan ditambah di sepanjang laluan Singapura-Kuala Lumpur apabila berlaku peningkatan permintaan perjalanan, yang seterusnya akan menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan dan harga yang lebih baik untuk penumpang bagi tempoh jangka panjang," katanya.
Koh berkata, CCCS akan terus memantau perkembangan dalam sektor itu untuk memastikan persaingan memberikan hasil positif kepada pengguna.
SIA dan Malaysia Airlines mengemukakan permohonan bersama kepada CCCS pada 24 Mac 2023, mengenai sama ada kerjasama yang dicadangkan itu akan menjadi perjanjian anti-persaingan di bawah Akta Persaingan 2004.
Permohonan selanjutnya dibuat pada 3 Nov 2023, yang menyatakan bahawa kerjasama itu akan terhad kepada penerbangan perkhidmatan penuh mereka dan tidak meliputi syarikat LCC mereka, iaitu Scoot dan Firefly.
CCCS adalah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri yang mentadbir dan menguatkuasakan Akta Persaingan 2004 dan Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil) 2003, untuk mengawal aktiviti anti-persaingan dan amalan perdagangan tidak adil.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami