KUALA LUMPUR: Kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kejadian kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Perak pada Rabu disahkan berfungsi dengan baik dan rakamannya telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pemeriksaan bedah siasat oleh pihak forensik pula dijadualkan pada jam 9.00 pagi Khamis.
Jelasnya, beberapa pentadbir dan guru sekolah berkenaan telah diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu siasatan.
Tegas Fadhlina, beliau turut mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah pada Khamis untuk meneliti aspek pengurusan dan pematuhan tatacara keselamatan.
"Saya baru sahaja selesai mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan susulan kejadian kematian seorang murid Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak. Pengarah JPN Perak dan Pengarah BPSBP juga telah tiba di lokasi bagi menyelaras tindakan segera.
"Saya amat memahami betapa beratnya kehilangan seorang anak. Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kesedihan yang sedang ditanggung keluarga mangsa. Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga.
"Saya memandang serius kejadian ini dan telah mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus," jelasnya dalam catatan di laman Facebooknya pada malam Selasa.
Dalam pada itu katanya, bagi menjaga kesejahteraan warga sekolah, murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan akan dibenarkan pulang pada hari Jumaat (20 November).
Jelasnya lagi, bantuan psikososial juga telah diberikan kepada mereka yang terkesan.
"Saya menegaskan bahawa KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran tatacara keselamatan sekiranya terbukti melalui hasil siasatan.
"Saya menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa. Berikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.
"Semoga keluarga mangsa terus diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini," ujarnya.