KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman di sini menyangkal dakwaan berlaku tindakan tidak menghormati agama susulan kunjungan mengejut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis Emmanuel Macron semalam, sambil menjelaskan bahawa kedua-dua pemimpin hanya berdiri di kawasan beranda luar selain tidak memasuki ruang suci serta tempat sembahyang.
Pengerusi kuil berkenaan Tan Sri Dr R. Nadarajah berkata kunjungan singkat itu bukanlah sesuatu yang dirancang dan pihak pengurusan tidak menerima sebarang makluman awal daripada pihak berkuasa atau penganjur.
“Kami langsung tidak tahu mereka akan datang... saya berada di hospital ketika itu manakala setiausaha, bendahari atau pemegang amanah lain juga tiada di kuil untuk menyambut kehadiran mereka atau memberi nasihat mengenai protokol berkaitan pemakaian kasut,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Persatuan Malaysia Hindu Sangam (MHS) dan Malaysia Hindu Dharma Mamandram yang mempersoal tindakan kedua-dua pemimpin serta delegasi mereka memakai kasut ketika melakukan tinjauan mesra di kuil berkenaan.
Nadarajah berkata Anwar, Macron dan rombongan mereka hanya berada di kawasan beranda hadapan di bawah rajagopuram (menara pintu masuk utama) dan tidak memasuki dewan sembahyang utama atau sannidhanam (ruang suci bahagian dalam) di mana pemakaian kasut adalah dilarang sama sekali.
“Sesiapa pun tidak dibenarkan memasuki ruang suci bahagian dalam dengan memakai kasut. Mereka hanya melangkah masuk ke kawasan beranda luar semasa melalui tempat itu,” katanya.
Beliau berkata pekerja kuil yang bertugas ketika itu tidak wajar dipertanggungjawabkan untuk menghalang pegawai keselamatan berpangkat tinggi dan kenamaan asing tanpa kehadiran pihak pengurusan.
Menzahirkan rasa gembira atas kunjungan bersejarah itu, Nadarajah berkata pihak kuil berbesar hati menerima kehadiran kedua-dua pemimpin, yang kelihatan gembira mengunjungi rumah ibadat berkenaan, dan menggesa semua pihak supaya tidak membesar-besarkan perkara tersebut.
Semalam, Anwar membawa Macron bersiar-siar di sekitar kawasan warisan Petaling Street termasuk singgah sebentar di Kuil Guan Di dan Kuil Sri Maha Mariamman bersempena dengan lawatan rasmi dua hari pemimpin Perancis itu ke Malaysia.
-- BERNAMA