Ringkasan AI
- Kerajaan komited memperkukuh dasar, struktur sokongan dan infrastruktur digital untuk melindungi rakyat serta memanfaatkan faedah ekonomi kecerdasan buatan (AI).
- Fahmi Fadzil menegaskan penggubalan peraturan AI dilakukan secara teliti dan berhemah bagi memastikan perlindungan jangka panjang kepada masyarakat.
- Penubuhan AI Malaysia Bhd dan peluasan ketersambungan 5G antara langkah konkrit memperkukuh ekosistem AI negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi.
PUTRAJAYA: Kerajaan komited untuk memperkukuh dasar, struktur sokongan dan infrastruktur digital berkelajuan tinggi bagi melindungi rakyat Malaysia di samping memastikan negara memanfaatkan sepenuhnya faedah ekonomi daripada kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kerajaan mengambil pendekatan tadbir urus yang terancang dan berfokus bagi memastikan perlindungan sewajarnya untuk rakyat kerana AI mengubah industri serta membentuk semula landskap pekerjaan.
“Bagi pihak kerajaan, kita perlu memastikan bahawa dasar dan peraturan, iaitu struktur keselamatan dan sokongan yang disediakan, mampu mendepani perubahan drastik sama ada dalam bentuk ‘pemusnahan kreatif’ atau peluang pekerjaan baharu yang bakal kita saksikan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Hal ini disebabkan oleh teknologi AI dan cara ia mengubah kaedah operasi sesetengah perniagaan, industri serta sektor,” katanya semasa sesi panel bertajuk The AI Wave, Malaysia’s Next Move di Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 di sini hari ini.
Fahmi turut mengibaratkan peranan kerajaan seperti konsep “Hobbesian Leviathan”, yang diperkenal oleh ahli falsafah politik Thomas Hobbes, bagi merujuk kepada autoriti negara yang berkuasa serta diamanahkan untuk mengekalkan ketenteraman dan melindungi masyarakat.
Mengulas lanjut mengenai konsep itu, beliau berkata perkembangan pesat teknologi memerlukan pertimbangan yang teliti dan bukannya penggubalan undang-undang secara terburu-buru di samping pendekatan berhemah kerajaan dalam mengawal selia bagi menyediakan perlindungan jangka panjang kepada rakyat.
“Proses ini (penggubalan peraturan) berjalan dengan sangat perlahan dan begitu teliti namun ia bertujuan untuk menyediakan perlindungan kepada orang ramai,” katanya.
Beliau mengakui cabaran dalam mengawal selia AI susulan kepantasan perkembangan teknologi itu, dan berkata proses perundangan mungkin memakan masa yang agak lama.
“Oleh itu, timbul persoalan ini... amat sukar untuk mengawal selia teknologi ini kerana kita tidak tahu bagaimana AI akan berubah atau berevolusi dalam tempoh tiga atau enam bulan akan datang... bagi sesebuah kementerian, proses meluluskan undang-undang di Parlimen sahaja boleh mengambil masa hingga dua tahun,” katanya.
Menyentuh mengenai usaha di peringkat institusi, Fahmi berkata penubuhan AI Malaysia Bhd adalah antara langkah konkrit yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem AI negara.
Beliau berkata Malaysia juga berada dalam kedudukan unik untuk menarik peluang ekonomi hasil perkembangan pusat data walaupun ketika ini, dua negara menguasai 90 peratus kapasiti pengkomputeran AI global.
Fahmi berkata usaha berterusan kerajaan sejak empat tahun lepas untuk memperluas ketersambungan 5G telah meletakkan asas yang kukuh bagi penggunaan AI secara lebih meluas, dengan liputan kini mencapai kira-kira 92 peratus dan kadar penggunaan sebanyak 89 peratus.
Beliau berkata ketersambungan ini akan membolehkan sektor perniagaan, komuniti dan pelajar memanfaatkan peralatan AI secara produktif sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Menekankan keperluan untuk menguruskan dana awam secara berhemat, Fahmi berkata insentif dan inisiatif kerajaan bagi menggalakkan penggunaan AI perlu berasaskan bukti, bagi memastikan ia benar-benar memberikan manfaat yang nyata.
-- BERNAMA