KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menetapkan TM Technology Services Sdn Bhd (TM) sebagai pemberi perkhidmatan sejagat bagi membangunkan Sistem Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).
Projek bernilai RM2.7 bilion yang dibiayai melalui Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) itu akan meningkatkan kapasiti komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sekali gus memperkukuh daya tahan rangkaian digital negara.
Menurut kenyataan MCMC, TM bertanggungjawab mereka bentuk, melaksanakan dan mengendalikan sistem kabel dasar laut sepanjang kira-kira 5,500 kilometer itu menggunakan teknologi Alcatel Submarine Networks (ASN).
SALAM akan menyediakan laluan alternatif bagi trafik data untuk mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan sekiranya kabel dasar laut sedia ada mengalami kerosakan atau gangguan.
Keperluan terhadap kapasiti baharu semakin mendesak apabila penggunaan rangkaian kabel dasar laut sedia ada yang beroperasi sejak 2017 kini mencecah kira-kira 85 peratus.
Sistem itu akan merangkumi 10 stesen pendaratan kabel dasar laut baharu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Dua stesen akan dibangunkan di Cherating dan Sedili di Semenanjung Malaysia, manakala tiga lagi ditempatkan di Kuching, Sibu (Matu) dan Bintulu (Samalaju), Sarawak.
Di Sabah, stesen pendaratan akan dibangunkan di Kota Kinabalu, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau.
Kapasiti tambahan berkenaan akan menyokong peluasan perkhidmatan jalur lebar dan rangkaian 5G, selain memperkukuh ekosistem perkhidmatan awan, kecerdasan buatan (AI) serta pusat data.
Ia juga dijangka memperluas akses kepada peluang ekonomi digital, khususnya bagi komuniti dan perniagaan di Sabah serta Sarawak.
Selain itu, empat pasangan gentian optik akan dikhususkan bagi memenuhi keperluan strategik negara, termasuk pembangunan infrastruktur awan berdaulat, perkhidmatan digital kerajaan dan keselamatan siber.
Pelaksanaan projek dijadualkan bermula pada pertengahan Disember 2026 dan disiapkan secara berperingkat menjelang suku pertama 2030.
Kerjasama berkenaan turut disusuli pertukaran memorandum persefahaman antara TM dengan ASN yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Bangunan Sultan Abdul Samad.
MCMC berkata, pelaksanaan SALAM mencerminkan komitmennya untuk membangunkan infrastruktur digital yang lebih andal dan berdaya tahan, supaya lebih banyak komuniti serta perniagaan dapat menikmati manfaat ekonomi digital.