KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang membangkitkan persoalan adakah Bajet 2022, yang digambarkan terbesar dalam sejarah negara mampu memulihkan kehidupan dan mata pencarian rakyat yang terjejas akibat COVID-19, sejak setahun lalu.

Menerusi satu kenyataan, Kit Siang berkata, ini kerana prestasi yang ditunjukkan Malaysia disifatkan terburuk dalam mengendalikan wabak COVID-19, selain mempersoalkan berapa lama masa yang akan diambil untuk melihat pemulihan negara.

Jelas beliau lagi, Bajet 2021 dengan peruntukan RM322 bilion, yang dianggap sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah negara ketika itu, turut gagal membawa keluar negara daripada kemelut ekonomi yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19.

"Semasa Bajet 2021 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di bawah kerajaan (Tan Sri) Muhyiddin pada 6 November 2020, negara merekodkan jumlah keseluruhan kes COVID-19 sebanyak 38,189 dengan 279 kematian.
SEMUA BERHUBUNG BAJET DI SINI


"Semalam, jumlah tersebut masing-masing meningkat kepada 2,454,719 dan 28,769, peningkatan lebih 64 kali ganda untuk kes COVID-19 dan lebih 103 kali ganda untuk kes kematian dalam tempoh antara pembentangan Bajet 2021 dan Bajet 2022!," demikian katanya dalam kenyataan itu.

Bajet 2022 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Tengku Zafrul sekitar jam 4 petang ini.

Mengulas lanjut,  Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, semasa Memorandum Persefahaman (MoU) Kepercayaan-Perbekalan-Reformasi ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dengan pembangkang pada 13 September lalu, Malaysia merekodkan 1,995,772 kes kumulatif COVID-19 dengan 21,124 kematian. 

Ini bermakna katanya, di antara pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November dan peristiwa tandatangan MoU CSR pada 13 September lalu, telah berlaku peningkatan kira-kira 50 peratus jumlah keseluruhan kes COVID-19, dengan peningkatan kira-kira 75 peratus untuk kes kematian.

Sementara untuk tempoh 45 hari antara hari MoU CSR ditandatangani kedua-dua pihak pada 13 September dan pembentangan Bajet 2022 pada hari ini, berlaku peningkatan masing-masing sebanyak 1.2 peratus dan 1.4 peratus dalam jumlah keseluruhan kes dan kematian.

"Ini adalah satu sebab mengapa MoU CSR diperlukan untuk mengurangkan peningkatan mendadak dalam jumlah keseluruhan kes COVID-19 dari julat lima angka kepada julat empat angka dan untuk menurunkan angka kematian akibat wabak itu dari lebih 400 sehari ke bawah paras 100 kematian sehari.

"Pun begitu, adakah kita mampu untuk kembali ke zaman pra-darurat pada 11 Januari 2021 di mana kita merekodkan kes harian baharu COVID-19 sebanyak 2,234 dengan empat kematian, atau lebih baik lagi, kembali ke masa Bajet 2021 dibentangkan pada 6 November 2020 di mana kita merekodkan 1,755 kes COVID-19 dengan dua kematian, akan menjadi ujian kepada Bajet 2022 ini," ujar beliau lagi.