JOHOR BAHRU: Pengumuman kerajaan dalam membantu golongan pencari kerja menerusi Bajet 2022, mendapat reaksi positif rakyat di Johor.

Inisiatif itu dianggap dapat membuka peluang buat mereka dalam mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Bagi graduan ijazah sarjana muda, Muhammad Zaim Jamaludin, penutupan sektor pekerjaan ekoran pandemik COVID-19 mengakibatkan graduan sukar mendapatkan pekerjaan.

Malah pihak majikan juga dilihat lebih memetingkan pengalaman berbanding tahap pendidikan.

“Sebenarnya, proses (mencari pekerjaan) yang dialami itu ada banyaklah, kebanyakannya kerana orang yang mencari pekerja ini, inginkan mereka yang berpengalaman.

“Kalau lepasan graduan macam kita ini agak susah untuk mendapat pengalaman itu kerana baru habis belajar, pengalaman pun tidak cukup, jadi ada sedikit kesukaran,” ujarnya.

Namun jelasnya, para graduan kini mampu menarik nafas lega selepas kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif menerusi Bajet 2022 bagi membantu golongan berkenaan dalam mendapatkan pekerjaan yang diinginkan.

“Dengan bantuan RM300 yang diperoleh melalui Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), ia sedikit sebanyak memberi manfaat kepada kami. Ini kerana kebanyakan kami yang mencari kerja atau mula bekerja ini tidak ada wang yang banyak.

“Jadi, apabila kita ada sedikit wang tambahan ini, ia dapat bantu perbelanjaan dari segi kos minyak, makan dan lebih beruntung jika dapat menampung kos tempat tinggal sekali,” tambahnya.

Sementara itu, Daniel Zulqarnain Abdullah yang bekerja sendiri berkata, peluang pekerjaan yang terhad membebankan semua pihak terutamanya mereka yang menyara keluarga.

“Dalam masa sekarang ni, kita dah dua tahun hadapi PKP dan berdepan dengan COVID-19. Saya boleh cakap untuk mendapatkan pekerjaan impian kita ini agak sukarlah.

“Tipis sekali peluang kita sebab kebanyakan sektor-sektor sudah ditutup dan pada tahun ni pula baru bernafas semula. Hanya beberapa sektor sahaja yang masih hidup. Jadi itu salah satu puncanya.

“Dengan inisiatif daripada kerajaan melalui Bajet 2022 ini dapat memberikan galakan kepada rakyat yang mungkin terkesan dan juga yang terpaksa mencari duit lebih.

“Bantuan RM300 ini bolehlah memberikan sedikit nafas lega untuk rakyat mengatur perbelanjaan dan mungkin mereka yang bekerja jauh dari rumah dan memerlukan kos perbelanjaan lebih,” kata Daniel.

Kementerian Kewangan menerusi Bajet 2022, mengumumkan untuk meneruskan bantuan EMP yang menawarkan RM300 sebulan buat individu yang sedang aktif mencari kerja.

Selain itu, peruntukan berjumlah RM4.8 billion disalurkan bagi membangunkan 600,000 peluang pekerjaan di Malaysia.