Ringkasan AI
- Jumlah mangsa banjir di Selangor dan Perak terus berkurang setakat petang ini, menurut laporan pihak berkuasa.
- Di Selangor, 838 mangsa daripada 256 keluarga masih berlindung di PPS, manakala di Perak, 197 mangsa daripada 57 keluarga ditempatkan di tiga PPS.
- Jalan Padang Serai-Beruas di Perak ditutup kepada kenderaan ringan akibat banjir, dan MetMalaysia meramalkan ribut petir di semua daerah Perak petang ini.
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor dan Perak terus berkurang setakat petang ini.
Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 838 orang daripada 256 keluarga petang ini berbanding 978 orang daripada 303 keluarga pagi tadi.
Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan daerah Kuala Langat mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 797 orang ditempatkan di tiga PPS.
Daripada jumlah itu, 764 orang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang, 17 orang di Dewan Orang Ramai Kampung Labohan Dagang dan 16 orang di Balai Raya Kampung Sungai Kelambu.
Di Kuala Selangor, satu PPS masih beroperasi iaitu di Sekolah Agama Batu 8 Ijok yang menempatkan 41 mangsa.
Sementara itu, di PERAK, jumlah mangsa banjir yang berlindung di tiga PPS di tiga daerah turut berkurang kepada 197 orang daripada 57 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 204 orang daripada 60 keluarga pada 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai di Manjung kekal 127 orang daripada 37 keluarga.
Di Hilir Perak, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan berkurang kepada 63 orang daripada 17 keluarga.
Di daerah Larut, Matang dan Selama, jumlah mangsa yang berlindung di PPS SK Batu Hampar turut berkurang kepada tujuh orang daripada tiga keluarga.
Difahamkan, kebanyakan kawasan yang terjejas masih mengalami banjir termenung.
Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) melaporkan Jalan Padang Serai-Beruas ditutup kepada kenderaan ringan akibat dinaiki air.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan ribut petir di semua daerah di Perak pada sebelah petang.
-- BERNAMA