Skip to main content

Malaysia

RTS Link: Simulasi pengoperasian penuh NIISe bermula 1 Dis

Dalam kenyataan, KDN memaklumkan pelaksanaan simulasi pengoperasian penuh itu kemudiannya akan diikuti Stesen RTS Woodlands, Singapura pada 16 hingga 30 Dis. - Foto Facebook KDN
Dalam kenyataan, KDN memaklumkan pelaksanaan simulasi pengoperasian penuh itu kemudiannya akan diikuti Stesen RTS Woodlands, Singapura pada 16 hingga 30 Dis. - Foto Facebook KDN

Ringkasan AI

  • Simulasi penuh Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) akan dilaksanakan di Stesen RTS Bukit Chagar, Johor Bahru dari 1 hingga 15 Disember.
  • Simulasi ini menguji kestabilan sistem NIISe, penggunaan aplikasi MyNIISe, kod QR, eGate, serta penyelarasan SOP CIQ antara Malaysia dan Singapura.
  • Pengguna RTS Link digalakkan memuat turun aplikasi MyNIISe dan melengkapkan pendaftaran awal untuk memudahkan perjalanan rentas sempadan apabila perkhidmatan bermula.
Advertisement

PUTRAJAYA: Simulasi pengoperasian penuh Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) akan dilaksanakan di Stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Bukit Chagar, Johor Bahru bermula 1 hingga 15 Dis ini, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Dalam kenyataan, KDN memaklumkan pelaksanaan simulasi pengoperasian penuh itu kemudiannya akan diikuti Stesen RTS Woodlands, Singapura pada 16 hingga 30 Dis.

“Simulasi yang dilaksanakan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ini merupakan langkah proaktif KDN bagi memastikan kesiapsiagaan sistem, anggota dan kemudahan pemeriksaan imigresen menjelang pengoperasian Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link),” menurut kenyataan itu.

Advertisement

KDN memaklumkan Stesen RTS Bukit Chagar akan mengguna pakai NIISe sepenuhnya bagi semua urusan pemeriksaan dan pelepasan imigresen, menandakan satu lagi langkah penting dalam transformasi digital pengurusan sempadan negara.

“Pelaksanaan simulasi ini melibatkan pengujian kestabilan sistem NIISe, termasuk penggunaan aplikasi MyNIISe, kod respons pantas (QR) dan pintu pagar automatik (eGate), serta kelancaran aliran pergerakan penumpang dan penyelarasan prosedur operasi standard (SOP) di bawah konsep penempatan bersama kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) antara Malaysia dan Singapura.

Advertisement

Sehubungan itu, bakal pengguna perkhidmatan RTS Link digalakkan memuat turun aplikasi MyNIISe dan melengkapkan pendaftaran lebih awal bagi memudahkan urusan perjalanan rentas sempadan apabila perkhidmatan tersebut mula beroperasi kelak.

“Pemanfaatan teknologi dan peningkatan kesiapsiagaan penguatkuasaan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keselamatan sempadan negara, di samping menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan selamat kepada rakyat,” menurut KDN.

Pada 27 Okt lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sistem NIISe yang membolehkan pemeriksaan imigresen menggunakan kod QR dijangka mula dilaksanakan pada Januari tahun depan.

Beliau berkata sistem yang kini dalam fasa percubaan itu membolehkan pemeriksaan imigresen dilakukan menerusi imbasan kod QR dengan menggunakan pasport fizikal atau Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement