Ringkasan AI
- Malaysia mengambil kira pandangan Singapura dalam memuktamadkan Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka dilancarkan awal 2027.
- Dokumen akhir pelan induk telah dikongsi dengan Singapura dan pelancaran rasmi dijangka diputuskan pada Pemukiman Pemimpin Tahunan Disember ini.
- Sehingga Jun 2026, JS-SEZ merekodkan pelaburan diluluskan RM88.83 bilion dengan 61.7 peratus daripada Singapura, dijangka mewujudkan lebih 28,000 pekerjaan.
SINGAPURA: Malaysia turut mengambil kira pandangan Singapura dalam memuktamadkan Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangka dilancarkan pada awal 2027.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata dokumen akhir pelan induk itu baru-baru ini telah dikongsi dengan Singapura semasa mesyuarat Jawatankuasa Menteri bagi Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC), yang menggariskan sektor tumpuan dan peluang bagi zon ekonomi khas berkenaan.
Menteri itu berkata walaupun Malaysia telah menyediakan dan memiliki dokumen berkenaan, ia kekal terbuka untuk menerima pakai pandangan Singapura atas semangat muhibah dan kerjasama antara kedua-dua negara berjiran itu.
“Sepanjang proses berkenaan, kita telah dimaklumkan bahawa Singapura mempunyai beberapa pandangan yang ingin dikongsikan berhubung dokumen itu meskipun hanya melibatkan sebahagian kecil daripadanya. Saya berpendapat pandangan itu wajar dipertimbangkan.
“Itulah sebabnya kami bersetuju untuk menyelesaikan perkara berkenaan dan kami yakin ia dapat dimuktamadkan semasa Pemukiman Pemimpin Tahunan (ALR). Selepas itu, kami boleh meneruskan pelancaran rasmi dokumen berkenaan," katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Masa Depan Asia di sini pada Jumaat.
Akmal Nasrullah berkata tarikh sebenar pelancaran pelan induk JS-SEZ itu akan ditentukan pada sesi ALR akan datang antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong, yang dijadualkan berlangsung pada 4 dan 5 Disember di Ipoh, Perak.
Sehubungan itu, beliau berpendapat bahawa pemilihan lokasi bagi pelancaran pelan induk berkenaan wajar dipertimbangkan secara strategik, dengan Kuala Lumpur atau Johor Bahru menjadi antara lokasi berpotensi memandangkan kaitannya dengan JS-SEZ.
"Sekurang-kurangnya pemukiman pemimpin-pemimpin ini dapat memuktamadkan rancangan pelancaran untuk pelan induk ini," kata Akmal Nasrullah.
Beliau berkata Pelan Induk JS-SEZ akan merangkumi dua dokumen. Pertama, sebuah pelan tindakan yang menggariskan cadangan nilai bagi zon itu sebagai rujukan mengenai peluang-peluang pelaburan.
Kedua, satu pelan sebagai rujukan dalaman bagi pihak berkuasa untuk menyelaraskan integrasi dua ekonomi yang berbeza dalam JS-SEZ.
“Di peringkat tempatan, kita perlu menangani pelbagai aspek lain, termasuk pengezonan tanah dan kesalinghubungan. Pelan induk ini akan menyediakan rangka kerja yang jelas mengenai cara kita menguruskan faktor-faktor berkenaan bagi memastikan semua pihak memahami pendekatan yang kita ambil.
"Dalam hal ini, dokumen itu akan memberikan gambaran yang lebih jelas tentang apa yang boleh kita jangkakan apabila kita melangkah ke hadapan," tambah Akmal Nasrullah.
Sehingga Jun 2026, JS-SEZ merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM88.83 bilion, dengan 61.7 peratus daripadanya adalah dari Singapura. Pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih 28,000 peluang pekerjaan.
Terdahulu, dalam ucapan beliau pada sidang kemuncak itu, Akmal Nasrullah berkata walaupun JS-SEZ masih berada pada peringkat awal pembangunan, kemajuannya menawarkan pengajaran yang bernilai kepada pasaran lain di seluruh Asia.
“Dalam ekonomi global yang semakin berpecah-belah, sempadan boleh menjadi pintu masuk untuk berkongsi kemakmuran dan bukannya penghalang kepada pertumbuhan,” katanya.
-- BERNAMA