SHAH ALAM: Sektor kesihatan awam dijangka menerima dana lebih tinggi dalam Bajet Selangor 2022 yang akan dibentang pada 26 Nov ini, kata Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata peruntukan itu akan disalur ke arah penjagaan kesihatan mental khususnya peranan komuniti dalam mencegah penyakit tidak berjangkit, pusat sokongan anak istimewa dan talian selamat untuk masalah krisis rumah tangga serta usaha pendigitalan.

"Insya-Allah, kita akan dapat lebih (daripada tahun sebelum ini) bagi kesihatan awam, kita ada idea baharu yang akan dilaksana selain meneruskan dan menambah baik program sedia ada.

"Berdasarkan situasi COVID-19, kebanyakan mangsa adalah mereka yang komorbid dan kita tidak mahu lagi sampai ke tahap itu, biarlah dari awal rakyat Selangor ada kesedaran perlunya menjaga kesihatan," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Terdahulu, Dr Siti Mariah menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Lantikan kepada Pegawai Titik Tumpuan Gender (GFP) dan Pasukan Tumpuan Gender (GFT) untuk Projek Pengarusperdanaan Gender bagi Tahun 2021/2022 yang disempurnakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

-- BERNAMA