KUALA LUMPUR: Bangladesh menyasarkan untuk beralih daripada perdagangan konvensional sedia ada kepada integrasi ekonomi yang lebih luas dengan mempelbagaikan perdagangan, meluaskan pelaburan dan memperkukuh kerjasama perniagaan menerusi interaksi antara komuniti perniagaan.
Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Mosammat Shahanara Monica berkata, negara itu perlu melihat melangkaui perdagangan konvensional dan meneroka usaha sama, kerjasama teknologi serta peluang pelaburan baharu dalam sektor-sektor yang sedang berkembang.
“Terdapat ruang yang luas untuk menggabungkan modal, teknologi dan kepakaran Malaysia dengan pasaran, tenaga kerja serta keupayaan pengeluaran Bangladesh.
“Pada masa sama, syarikat-syarikat Bangladesh boleh membawa pengalaman pembuatan, pengetahuan pasaran dan rangkaian serantau mereka yang semakin berkembang ke dalam kerjasama ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Rangkaian Perniagaan Bangladesh-Malaysia, di sini, pada Rabu.
Selain itu, beliau berkata, perbincangan yang sedang berjalan ke arah Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Bangladesh, dijadual dimuktamadkan menjelang 2027, turut menyediakan peluang penting untuk mewujudkan persekitaran perniagaan lebih terjamin dan boleh dijangka.
Shahanara Monica berkata, asas ekonomi Bangladesh kini semakin pelbagai.
“Walaupun sektor pakaian siap pakai kekal sebagai komponen penting dalam ekonomi eksport kami, peluang baharu sedang muncul dalam pelbagai sektor, termasuk pertanian dan pemprosesan makanan, perikanan, farmaseutikal, kulit dan kasut, kejuruteraan ringan, plastik, teknologi maklumat serta perkhidmatan berasaskan teknologi maklumat (IT).
“Ini mewujudkan peluang bukan sahaja untuk syarikat Malaysia menjual produk ke Bangladesh, malah untuk melabur dan menjalankan pengeluaran di sana, serta menjadikan Bangladesh sebagai platform bagi pengembangan perniagaan serantau jangka panjang,” katanya.
Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Dhaka (DCCI), Taskeen Ahmed memberitahu Bernama bahawa Bangladesh telah mula berinteraksi dengan rakan niaga Malaysia bagi menggalakkan mereka melawat dan melabur di negara itu.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia melawat Bangladesh dan menubuhkan pangkalan pembuatan mereka di sana.
“Ia bukan sahaja memberikan mereka akses kepada pasaran berpotensi seramai 180 juta penduduk, malah mereka juga mendapat akses bebas cukai dan bebas kuota. Syarikat-syarikat dari Malaysia telah melabur hampir US$800 juta di Bangladesh setakat ini,” katanya.
Beliau berkata, Bangladesh berhasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam sektor halal, termasuk melalui hubungan antara kerajaan bagi memudahkan penggunaan pensijilan halal Malaysia di Bangladesh.
Langkah berkenaan akan membantu pengeluar Bangladesh mendapat penerimaan yang lebih meluas bagi pensijilan halal mereka di peringkat global, memandangkan pensijilan halal Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa, katanya.
Dari Januari 2025 hingga Julai 2026, Bangladesh mengeksport barangan bernilai kira-kira AS$305.55 juta ke Malaysia, manakala import dari Malaysia bernilai kira-kira AS$2.26 bilion.
Eksport Bangladesh ke Malaysia merangkumi pakaian yang sudah siap untuk dipakai, pakaian fabrik berkait dan tenunan, produk kasut dan kulit, makanan dan minuman, serta sayur-sayuran dan rempah-ratus.
Sementara itu, Malaysia membekalkan pelbagai produk kepada Bangladesh, antaranya bahan api mineral, lemak dan minyak, besi dan keluli, plastik, jentera serta bahan kimia organik.
Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Manjurul Karim Khan Chowdhury turut menghadiri majlis makan malam tersebut bersama 38 anggota delegasi Bangladesh.
Delegasi perniagaan DCCI sedang mengadakan lawatan ke Malaysia dari 22 hingga 25 September.
-- BERNAMA