JOHOR BAHRU: Polis menahan empat lelaki kerana disyaki membakar mercun berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Azrol Anuar Nor berkata suspek berusia 16 hingga 25 tahun ditahan di sekitar Skudai pada 7.30 malam.
“Kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing juga didapati negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrol Anuar berkata polis memperoleh perintah reman tiga hari bermula hari ini terhadap suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan dan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita sedang mengesan tiga lagi individu yang disyaki turut terlibat dalam kejadian itu,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi talian hotline 07-5563122.
Sebelum ini, video berdurasi 29 saat menunjukkan perbuatan membakar mercun di lokasi itu tular di media sosial.
-- BERNAMA