Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Kenaikan gaji, ekonomi stabil jadi sandaran PH raih undi awal esok

Adly berkata, sebahagian pengundi awal terdiri daripada anggota perkhidmatan awam yang turut menerima manfaat dasar kerajaan. - Astro AWANI
Adly berkata, sebahagian pengundi awal terdiri daripada anggota perkhidmatan awam yang turut menerima manfaat dasar kerajaan. - Astro AWANI
Advertisement

AYER KEROH: Pakatan Harapan (PH) berharap pengundi awal pada esok mengambil kira pencapaian Kerajaan Persekutuan, termasuk kenaikan gaji penjawat awam dan kestabilan ekonomi negara.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, sebahagian pengundi awal terdiri daripada anggota perkhidmatan awam yang turut menerima manfaat dasar kerajaan.

Menurutnya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melaksanakan beberapa komitmen yang lama tertangguh, termasuk pelarasan gaji penjawat awam.

Advertisement

"Memang kalau kita lihat kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri telah melunaskan, janji-janji yang tertangguh agak lama, contoh macam kenaikan gaji.

"Begitulah juga kalau kita lihat, kita stabilkan negara ini. Cabaran terbesar bagi negara adalah tentang ekonomi," katanya pada sidang media PH di Bilik Gerakan Utama gabungan itu di Ayer Keroh hari ini.

Advertisement

Adly turut menyifatkan pengukuhan nilai ringgit sebagai antara pencapaian ekonomi yang wajar diambil kira pengundi ketika membuat penilaian.

Katanya, kerajaan juga berjaya memperkukuh kedudukan ekonomi negara selepas berdepan cabaran pandemik COVID-19.

Justeru, beliau berharap pengundi awal memberikan sokongan kepada PH bagi memastikan dasar Kerajaan Persekutuan dapat diteruskan.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 12,531 pemilih terdiri daripada anggota tentera, pasangan dan polis direkodkan bagi PRN Melaka, dengan pengundian awal dijadual berlangsung esok di 31 pusat mengundi.


 

Must Watch Video

Advertisement