TANAH MERAH: Polis menahan 34 individu termasuk empat warga tempatan yang disyaki menjadi tekong, dalam kegiatan membawa masuk pendatang menerusi laluan tidak sah di pangkalan haram Yuti, Nibong, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah berkata operasi pada 9.45 pagi itu, turut menahan 30 warga Myanmar, terdiri daripada 18 lelaki dan 12 perempuan.
Beliau berkata operasi berdasarkan maklumat risikan itu dilaksanakan menerusi Ops Inter-Agensi KDNKA IPD Tanah Merah, berdasarkan Perintah Gerakan KPD Bil. 269/2026.
“Operasi diketuai Ketua Polis Balai Nibong dan Ketua Polis Balai Batu Gajah dengan kekuatan 10 anggota daripada Balai Polis Nibong, Balai Polis Batu Gajah, Balai Polis Bukit Bunga dan Balai Polis Lalang Pepuyu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Haki berkata hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada empat warga tempatan yang ditahan didapati positif dadah.
Polis turut menemukan sebotol cecair disyaki air ketum berisipadu kira-kira 450 mililiter di dalam sebuah kenderaan Perodua Myvi.
Beliau berkata dua kenderaan iaitu Perodua Myvi dan Honda City serta cecair disyaki air ketum itu, turut dirampas untuk tindakan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
-- BERNAMA