WASHINGTON: Pemenang Hadiah Nobel dari Amerika Syarikat (AS) Michael Kremer akan menjadi Ketua Ahli Ekonomi baharu Bank Dunia, menurut institusi yang berpangkalan di Washington itu pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Beliau akan mengambil alih tanggungjawab bagi penyelidikan dan analisis mulai 1 Okt. Sebagai Ketua Ahli Ekonomi, beliau mewakili Bank Dunia di peringkat antarabangsa dan menghasilkan laporan yang berpengaruh.
Kremer menyertai Bank Dunia ketika "dunia memerlukan penyelesaian berani bagi menangani cabaran pembangunan paling mendesak", kata Presiden Kumpulan Bank Dunia Ajay Banga.
"Michael menghabiskan kerjayanya bukan sekadar mengenal pasti pendekatan yang berkesan dalam pembangunan, malah membuktikan keberkesanannya secara berskala -- dan pemikiran seperti itulah yang kita perlukan," katanya.
Ahli ekonomi lulusan Universiti Harvard itu kini berkhidmat di Universiti Chicago. Bidang tumpuan penyelidikannya termasuk pertumbuhan ekonomi, perubahan teknologi dan ekonomi pembangunan.
Pada 2019, beliau bersama ahli ekonomi Abhijit Banerjee dan Esther Duflo dianugerahkan Hadiah Nobel dalam Sains Ekonomi atas sumbangan mereka dalam usaha memerangi kemiskinan.
Pendahulu Kremer ialah Indermit Gill yang memegang jawatan itu selama empat tahun sejak September 2022. Beliau meninggalkan Bank Dunia pada akhir Ogos.
-- BERNAMA-dpa