KUALA LUMPUR: British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) mengalu-alukan pengumuman kerajaan untuk mengesahkan dari segi undang-undang produk vape nikotin, dalam pembentangan Bajet 2020 semalam.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin, yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Langkah tersebut ujar beliau, ia adalah antara usaha kerajaan dalam menjayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata, pelaksanaan duti eksais bagi produk cecair nikotin itu adalah satu langkah yang tepat bagi mengurangkan bahaya rokok di Malaysia.

"Perundangan bukan sahaja membolehkan pengguna mendapat akses kepada alternatif mengurangkan risiko bagi rokok tetapi juga memastikan produk yang digunakan itu mematuhi standard kualiti dan keselamatan," kata beliau dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, BAT Malaysia mempunyai matlamat jelas iaitu membina 'Masa Hadapan Lebih Baik' dengan mengurangkan impak kesihatan dalam perniagaannya.

"Dan dengan itu, mewujudkan nilai pelbagai pemegang taruh. Pengumuman kerajaan semalam memainkan peranan penting dalam hal ini," kata BAT Malaysia.

Walau bagaimanapun, BAT Malaysia berpendapat sebagai kerangka kerja percukaian bagi mengurangkan produk berisiko hendaklah dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya dan menggalakkan perokok bertukar daripada rokok tradisional.

"Tetapi tidak sehingga mendorong pengguna beralih kepada alternatif pasaran gelap yang murah dan tiada tertakluk dibawah apa-apa peraturan.

"Jika tidak, kesilapan melaksanakan kadar eksais tinggi rokok akan diulangi yang mana kerajaan kerugian hasil cukai RM5 bilion setiap tahun," kata Nedal. 


Artikel asal di DagangNews.com